mutakhir

Derita jaket tersangkut pada rantai motosikal

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: Kanak-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan lebih 30 minit selepas tangan kirinya tersepit di rantai motosikal dalam kejadian berhadapan Balai Raya Sungai Terap, di sini, pagi semalam.

Mangsa berusia 11 tahun membonceng motosikal yang ditunggang ibunya apabila jaket yang dipakai tersangkut di rantai kenderaan itu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.21 pagi.

Menurutnya, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Tiba di lokasi, anggota bertugas mendapati tangan kanak-kanak itu tersepit.

"Kerja menyelamatkan mangsa kemudian dilakukan dengan menggunakan peralatan khas," katanya ketika dihubungi, semalam.

Hafisham berkata, mangsa terkoyak kulit dan isi di siku.

Katanya, kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Tanjong Karang dengan menaiki ambulans.

Disiarkan pada: May 13, 2023 @ 12:05pm
d