mutakhir

Tiada lagi suara 'comel' Aisyah [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Kota Bharu: "Selepas ini tiada lagi suara 'comel' daripada Aisyah yang sering membaca al-Quran mengikut caranya sendiri," kata Rubiah Ismail 59, ibu kepada dua beradik yang maut dalam kebakaran rumah di Kampung Mentuan Sering, di sini, semalam.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, Muhammad Huzaifah Ab Halim, 31, dan adiknya, Aisyah Ab Halim, 22, yang juga penghidap sindrom down disahkan terbunuh dalam kebakaran itu.

Rubiah ketika ditemui pada majlis pengebumian dua beradik itu di Tanah Perkuburan Islam Gertak Kechupu, Kampung Mentuan, di sini, 6 petang, hari ini, meluahkan kesyukuran kerana kedua-dua anaknya sudah selamat dikebumikan dan reda dengan ketentuan Ilahi.

"Sebelum mereka meninggalkan saya buat selamanya, anak istimewa saya, Aisyah yang mesra dipanggil adik ada menunjukkan kelakuan pelik. Dua hari sebelum kejadian, dia membungkus baju ke dalam plastik dan membuangnya ke luar rumah.

"Tidak sangka itu adalah petanda dia akan pergi buat selamanya. Manakala, abangnya, Muhammad Huzaifah seperti biasa hanya diam sahaja selepas dia mengalami kemurungan," katanya ketika ditemui.

Hampir 200 ahli keluarga, saudara-mara dan penduduk kampung hadir di majlis pengebumian dua beradik berkenaan yang selamat dikebumikan di dalam satu liang lahad.

Rubiah yang juga guru mengajar al-Quran berkata, buat sementara waktu dia akan menumpang di rumah saudara yang berdekatan tapak kediamannya yang terbakar sebelum mencari tempat baharu untuk berteduh.

"Hilang dua anak dalam sekelip mata bukanlah sesuatu yang mudah untuk saya tempuhi, tetapi saya yakin mereka kini berada di tempat yang jauh lebih baik. Saya akan terus kuat menjalani kehidupan yang akan datang," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, ketika kebakaran berlaku, Rubiah berada di masjid berdekatan untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak sebelum diberitahu orang kampung mengenai kejadian menimpa anak-anaknya.

Disiarkan pada: May 13, 2023 @ 6:56pm
d