mutakhir

Paras Sungai Muda turun mendadak, 251,800 akaun di Kedah terjejas

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Sungai Petani: Kira-kira 251,800 akaun di daerah Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan Baling terjejas akibat penurunan paras Sungai Muda secara mendadak.

Syarikat Air Darul Aman (SADA) dalam kenyataannya berkata, gangguan bekalan air bermula jam 7.45 pagi ini berikutan henti tugas operasi Loji Rawatan Air (LRA) Pinang Tunggal dan LRA Kulim Hi-Tech yang dijangka selesai sehingga paras Sungai Muda kembali stabil.

"Sebanyak 171,800 akaun terjejas di daerah Kuala Muda manakala 80,000 akaun di Kulim dan sebahagian di kawasan Baling.

"Agihan semula bekalan akan dilaksanakan sebaik sahaja kerja kecemasan itu selesai," katanya di sini, hari ini.

Kenyataan itu berkata antara kawasan yang terjejas adalah Sidam Kiri, Pinang Tunggal, Tikam Batu, Kota Kuala Muda, Sungai Petani, Sungai Lalang, Bandar Amanjaya, Semeling dan Taman Lembah Bujang.

Selain itu katanya Taman Pinang Tunggal, keseluruhan kawasan Tikam Batu, Taman Desa Meranti, Kawasan Industri Kemuning, Kawasan Perindustrian Bakar Arang, Taman Sejahtera dan Taman Berjaya.

"Kawasan lain adalah Sungai Lalang, Bedong, Kampung Sungai Toh Pawang, seluruh kawasan pekan Sungai Petani, Amanjaya Zon Teratai, Cempaka, Melati, Mawar dan Kenanga.

"Bandar Laguna Merbok, Taman Ria, Taman Nuri, Kampung Ceruk Kelubi, Kampung Sungai Pasir, Kampung Teluk Wang, Kampung Bukit Kechil, Taman Cahaya PKNK dan Taman Sejati Indah.

"Di Kulim pula ialah Hospital Kulim, Taman Seroja, Taman Berjaya, Kampung Junjung, Taman Nenas, Taman Seladang," katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2023 @ 12:03pm
d