mutakhir

Penurunan paras air Sungai Muda: Pulau Pinang turut alami gangguan bekalan air

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Pengguna air di sesetengah kawasan di Pulau Pinang akan mengalami tekanan air rendah atau tiada bekalan air selama tiga hari susulan insiden penurunan mendadak paras air Sungai Muda.

Menurut kenyataan yang dimuatnaik di laman sosial Facebook (FB) Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), gangguan akan berlaku mulai hari ini sehingga Rabu.

Berikutan itu, agensi pengurusan air berkenaan menasihati pengguna di negeri ini menyimpan air dengan secukupnya sepanjang tiga hari terbabit sebelum bekalan dapat dipulihkan.

"Penurunan mendadak paras air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang pada 5 pagi ini menyebabkan pengeluaran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua terjejas.

"PBAPP sudah menyalurkan air dari Empangan Mengkuang sebagai tindakan kecemasan buat masa ini.

"Bagaimanapun, jumlah air yang disalurkan dari Empangan Mengkuang masih tidak cukup untuk menampung penurunan mendadak paras air Sungai Muda," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, LRA Sungai Dua juga tidak dapat beroperasi secara normal untuk merawat air 1,000 juta liter sehari (JLH) untuk dibekalkan ke kawasan Seberang Perai dan sekitar Pulau Pinang.

"Buat masa kini tahap pengeluaran LRA Sungai Dua terhad kepada 600 ke 650 JLH sehingga keadaan air mentah di muka sauk Lahar Tiang mencapai simpanan peratus (berdasarkan pemulihan paras air di Sungai Muda)," katanya.

Katanya, jurutera PBAPP kini bekerja keras untuk memulihkan bekalan air mentah di muka sauk Lahar Tiang dan pengeluaran air terawat di LRA Sungai Dua.

"PBAPP akan sentiasa mengemaskini maklumat kepada pengguna air Pulau Pinang," katanya.

Terdahulu, Kira-kira 251,800 akaun di daerah Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan Baling, Kedah terjejas akibat penurunan paras air Sungai Muda secara mendadak.

Syarikat Air Darul Aman (SADA) dalam kenyataannya dilaporkan berkata, gangguan bekalan air bermula pada jam 7.45 pagi hari ini, berikutan henti tugas operasi LRA Pinang Tunggal dan LRA Kulim Hi-Tech yang dijangka selesai sehingga paras Sungai Muda kembali stabil.

Disiarkan pada: May 14, 2023 @ 3:09pm
d