mutakhir

Azam Baki dilantik semula kerana tugas memuaskan - PM

Oleh BERNAMA

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkhidmatan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilanjutkan kerana beliau telah menjalankan tugasnya dengan memuaskan.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di sini hari ini, Anwar berkata beliau memberikan kelonggaran sepenuhnya kepada Azam serta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun untuk menjalankan tugas mereka dengan sebaiknya.

"Setakat yang saya lihat mereka jalankan tugas dengan memuaskan. Dia (Azam) mengambil tindakan tanpa memilih puak dan parti.

"Belum pernah dalam sejarah umpamanya pejabat-pejabat menteri juga digeledah dan dikenal pasti beberapa kompromi dan terus tindakan diambil sementara siasatan dijalankan," kata beliau ketika mengulas pelantikan semula Azam sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Pada 10 Mei lalu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi satu kenyataan mengumumkan pelantikan semula Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 12 Mei.

Mohd Zuki berkata pelantikan Azam telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras subseksyen 5(1) dan (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694].

Azam dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Beebi Koya, yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Disiarkan pada: May 15, 2023 @ 12:54pm
d