mutakhir

Banduan liwat rakan sel dijel lima tahun, satu sebatan

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Banduan kes dadah dipenjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meliwat rakannya di Pusat Pemulihan Akhlak Machang, Jun tahun lalu.

Tertuduh, Mohammad Rohaizad Rosli, 27, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii dengan seorang lelaki berusia 33 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di bilik sebuah blok, Pusat Pemulihan Akhlak Machang dekat Machang jam 1 pagi pada 26 Jun tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini memohon hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh kerana dianggap tidak serik dan melakukan kesalahan itu semasa menjalani hukuman kes dadah di Pusat Pemulihan Akhlak Machang.

Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara bermula daripada tarikh dia ditangkap.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 24 Julai tahun lalu dan satu sebatan.

Disiarkan pada: May 15, 2023 @ 4:19pm
d