mutakhir

Minta SPAN siasat punca sebenar paras air Sungai Muda turun mendadak [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Kerajaan Pulau Pinang meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melakukan siasatan penuh bagi mengetahui punca sebenar penurunan paras air Sungai Muda secara mendadak, pagi semalam.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, siasatan itu diperlukan memandangkan insiden berkenaan menyebabkan 400,000 akaun pengguna di negeri ini menghadapi gangguan bekalan air.

Katanya, selain Pulau Pinang, Kedah turut menghadapi gangguan bekalan air terhadap lebih 200,000 akaun pengguna yang memerlukan penyiasatan perlu dilaksanakan.

"Kita ingin tahu sebab sebenar kejadian ini berlaku. Ini kerana bukan saja kita terjejas tetapi di sebelah negeri sana (Kedah) juga terkesan apabila Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Petani turut terpaksa menghentikan operasi kerana tidak ada air mentah untuk dirawat.

"Di sini (Pulau Pinang), apabila tidak dapat mengabstrak air (di muka sauk Rumah Pam Lahar Tiang), LRA Sungai Dua juga terkesan sehingga tidak air tidak dapat dirawat untuk dibekalkan kepada pengguna," katanya pada sidang media ketika mengadakan tinjauan di Rumah Pam Lahar Tiang, di sini, hari ini.

Menurutnya, SPAN perlu melakukan siasatan itu memandangkan hairan bagaimana dengan hanya satu pintu air tidak berfungsi menyebabkan banyak akaun pengguna terjejas.

"Dalam pada itu, SPAN juga diminta memerintahkan pihak berwajib sama ada di Pulau Pinang mahupun di negeri Kedah supaya membuat semakan semua sistem pada baraj (pintu air) di sepanjang Sungai Muda.

"Ini adalah bagi membolehkan baraj yang tidak berfungsi atau rosak perlu diganti atau ditambah baik sebagai usaha mengelak kejadian sama berulang," katanya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan sehingga jam 11.30 pagi tadi bahawa operasi mengabstrak sumber air mentah di Rumah Pam Lahar Tiang, di sini kembali kepada asal dengan mencapai kira-kira 83 peratus.

Ia susulan langkah melepaskan air mentah dari Empangan Mengkuang yang diambil PBAPP semalam meningkatkan paras air Sungai Muda serta mengelak risiko gangguan pengoperasian LRA Sungai Dua.

"Air dari empangan Mengkuang adalah untuk mendepani krisis air yang luar biasa yang tindakan (PBAPP) semalam telah mengurangkan risiko.

"Sehingga kini, 90 peratus gangguan bekalan air di bahagian Seberang Perai dan Pulau sudah kembali dipulihkan dan memerlukan sedikit sahaja lagi masa untuk memulihkan bakinya," katanya.

Semalam, pengguna air di sesetengah kawasan di Pulau Pinang dilaporkan mengalami tekanan air rendah atau tiada bekalan air selama tiga hari susulan insiden penurunan mendadak paras air Sungai Muda.

Berikutan itu, PBAPP menasihati pengguna di negeri ini menyimpan air dengan secukupnya sepanjang tiga hari terbabit sebelum bekalan dapat dipulihkan.

Disiarkan pada: May 15, 2023 @ 4:55pm
d