mutakhir

Nur Safiyyah permata hati Farhah Izlin, suami [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

Pendang: Seperti kanak-kanak lain, Nur Safiyyah Suhail Zufairi comel dan keletahnya menghiburkan walau dilahirkan dengan masalah sumbing bibir dan lelangit.

Kanak-kanak berusia tiga tahun itu juga menghidap tiroid dan diabetes tahap satu.

Bagaimanapun, dia tetap menjadi permata hati Farhah Izlin Abd Rahman, 26, dan suami, Suhail Zufairi Mohamad, 26, yang tiada rasa malu walau sekelumit pun atas kekurangan anak tunggal mereka.

Menurut Farhah Izlin berkata, ketika mengandungkan Nur Safiyyah, dia tidak mengalami sebarang masalah, malah kandungannya baik setiap kali pemeriksaan dijalankan.

"Selepas bersalin, baru saya tahu jadi begitu dan sebagai ibu, saya terima saja keadaannya walau macam mana sekalipun.

"Suami dan seluruh keluarga kami juga terima dengan baik keadaan Nur Safiyyah selepas dapat tahu hasil ujian sampel yang dihantar ke Amerika Syarikat (AS)," katanya ketika dihubungi.

Farhah Izlin berkata, walaupun ada penyakit, Nur Safiyyah tetap ligat dan aktif bermain, cuma rutin Nur Safiyyah tidak seperti kanak-kanak seusianya.

Katanya, anak istimewa itu perlu dipantau dan perlu mengambil suntikan insulin empat kali sehari bagi mengawal paras gula dalam badan.

"Buat masa ini Nur Safiyyah masih perlu menjalani pemeriksaan kesihatan berkala di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.

"Sumbing bibir dan lelangitnya boleh dibaiki menerusi pembedahan, namun ia tidak dapat dijalankan buat masa ini kerana dia (Nur Safiyyah) ada masalah diabetes.

"Jadi, kena tangguhkan dulu pembedahan itu dan jaga Nur Safiyyah mengikut rutin seperti yang disyorkan doktor," katanya.

 Berhubung kisah Nur Safiyyah yang mendapat perhatian warga TikTok, katanya dia hanya mahu mengikut trend terkini di platform media sosial itu.

"Alhamdulillah, ramai mendoakan anak saya tetapi ada juga yang negatif.. mengata anak jadi begitu kerana suami merokok.

"Saya terima saja komen mereka dengan lapang dada. Tidak mahu terlalu memikirkannya kerana kami sudah lali dengan pandangan pelik segelintir masyarakat setiap kali bawa keluar Nur Safiyyah," katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2023 @ 7:24pm
d