mutakhir

Pengambilan pelajar asasi TVET sesi Julai dibuka

Oleh BERNAMA

Jeli: Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) akan memperkenalkan Program Asasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bermula sesi Julai ini.

Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd Zahari Ismail, berkata program tersebut merupakan inisiatif baharu dalam usaha memperkasakan program TVET termasuk bidang akuakultur dan agro pertanian.

"Program ini dikhususkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memberi ruang dan peluang mereka menyertai program tersebut yang dikendalikan bersama Rangkakain Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

"Empat MTUN terlibat adalah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Pahang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Politeknik Jeli Kelantan kali ke-9, di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 319 graduan menerima Diploma Agroteknologi dan Diploma Akuakultur bagi sesi II 2021/2022 dan sesi I 2022/2023.

Mengulas lanjut, Mohd Zahari berkata program itu turut ditawarkan di Politeknik Premier Ungku Omar, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Politeknik Merlimau, Politeknik Sultan Ahmad Shah dan Politeknik Tun Syed Nasir.

"Untuk peringkat awal kita sasarkan penyertaan 500 pelajar yang mana permohonan pengambilan pelajar dibuka hari ini (15 Mei) melalui Sistem Permohonan Kemasukan Pelajar (UPU).

"Pihak UPU juga akan bekerjasama dengan pihak jabatan untuk memberi penerangan mengenai inisiatif terbaharu ini melalui program 'Jom Masuk U' yang akan dilancarkan di Johor Bahru, Sabtu ini," katanya.

Beliau berkata program ini dirangka untuk tempoh setahun dan pelajar-pelajar kemudiannya akan melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di mana-mana MTUN terlibat.

Disiarkan pada: May 15, 2023 @ 8:25pm
d