mutakhir

Warga Pakistan rentung, 2 rakan selamat van terbakar dalam kemalangan

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Warga Pakistan rentung manakala dua rakan senegaranya terselamat selepas van dinaiki terbakar akibat kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 52 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara di sini, hari ini.

Komander Operasi Nizar Mamun, dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam berkata, dalam kejadian 5.30 petang itu, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya ditemui di tempat duduk belakang selepas api dipadamkan sepenuhnya.

Katanya, dua lagi rakannya yang berjaya menyelamatkan diri dikenali sebagai Ali Ghafar dan Khan Saleem.

"Kebakaran berlaku selepas van bertembung dengan lori Isuzu lima tan yang membawa muatan batu.

"Tiga mangsa berada di dalam van iaitu pemandu dan penumpang depan yang berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi mangsa dijumpai rentung di dalam van yang terbakar.

"Identiti mangsa belum dikenal pasti manakala pemandu lori terbabit juga tidak berada di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, turut terbabit kemalangan itu, dua kenderaan lain iaitu Toyota Camry dan Honda Civic dari arah bertentangan yang terkena serpihan objek terbang selepas rempuhan itu.

"Bagaimanapun, pemandu dan penumpang dua kenderaan itu selamat," katanya memaklumkan operasi tamat pada 6.39 petang.

Disiarkan pada: May 15, 2023 @ 9:39pm
d