mutakhir

36 tahun tak pernah ambil cuti sakit

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Demi memberi ilmu kepada pelajarnya, seorang pesara guru tidak pernah mengambil cuti sakit di sepanjang perkhidmatannya sebagai guru selama lebih 36 tahun.

Mohd Radin Sidek, 60, berkata, cuti sakit tidak pernah diambil berikutan dirinya diberi kesihatan yang baik sepanjang berkhidmat.

Menurutnya, beliau mengambil berat terhadap kesihatan apabila akan memastikan dirinya sentiasa sihat sekali gus dapat hadir ke sekolah setiap hari.

"Jika berasa sakit kepala atau selesema, saya akan terus mengambil ubat terutama panadol bagi meredakan kesakitan itu.

"Alhamdulillah sebaik makan ubat, sakit kepala atau selesema itu akan hilang sekali gus membolehkan saya meneruskan tugas untuk mendidik anak bangsa.

"Sepanjang bertugas juga saya tidak pernah sakit teruk, jadi saya tidak perlu mengambil cuti sakit. Ini adalah rezeki yang Allah SWT berikan kepada saya supaya terus berkhidmat kepada pelajar sekolah," katanya yang tinggal di Melawi dekat Bachok.

Bapa kepada tujuh anak itu yang bersara sebagai guru pada 1 Mei lalu berkata, sepanjang perkhidmatannya sebagai guru selama lebih 36 tahun, dia bertugas di 10 sekolah di empat negeri termasuk Kelantan.

Katanya, sepanjang bertugas itu beliau bekerja di bawah seliaan 16 pengetua termasuk tujuh pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gunung.

"Ketika berkhidmat, saya bertugas sebagai guru subjek Seni Visual bagi pelajar Tingkatan Enam. Jadi saya memberi komitmen penuh untuk memastikan mereka berjaya.

"Saya tidak mahu mengambil cuti sakit kerana ia akan menjejaskan pelajaran pelajar apabila silibus tidak sempat dihabiskan dalam masa yang ditetapkan.

"Bagi saya cuti sakit ini diperlukan kepada mereka yang benar-benar sakit saja. Jika sakit kepala sedikit Insya-Allah ia boleh sembuh dengan cara makan ubat dan dengan izin Allah SWT," katanya yang mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak tiga kali iaitu pada 2009, 2016 dan 2021.

Menurutnya, disebabkan tidak pernah mengambil cuti sakit, dia mendapat anugerah penghargaan yang diberikan oleh Pengetua SMK Sri Gunung, Harun Abdul Rahman pada 2018.

Mohd Radin yang bertugas di SMK Sri Gunung selama 20 tahun berkata, begitu juga cuti rehat khas (CRK) beliau hanya mengambil sebanyak tujuh hari di sepanjang berkhidmat bagi menghadiri majlis konvokesyen anak dan hantar mereka daftar universiti.

Disiarkan pada: May 19, 2023 @ 11:15am
d