mutakhir

Pengasuh mengaku salah cuai jaga bayi [METROTV]

Oleh Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Pengasuh sebuah taska dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua tuduhan bertindak cuai yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap dua bayi, Mac lalu.

Tertuduh, Nurul Shahira A'shiqin Sulaiman, 28, mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 2 Ogos depan untuk fakta dan hukuman.

Berdasarkan dua pertuduhan itu, wanita yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dan seorang bayi lelaki sembilan bulan, didakwa bertindak cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Utama 34, Taman Mutiara Rini di sini, kira-kira jam 1 petang, Mac lalu.

Bagi dua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebagai tambahan, tertuduh boleh dikenakan bon berkelakuan baik dan melaksanakan khidmat masyarakat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha'ari mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, namun peguam Syufri A Samad yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan yang lebih rendah.

Beliau berkata, anak guamnya sentiasa memberi kerjasama sepanjang siasatan kes dijalankan mahu pun ketika ditahan polis.

"Tertuduh hanya berpendapatan RM1,500 sebulan, manakala suaminya yang bekerja kilang mempunyai gaji RM2,000 sebulan.

"Tertuduh juga menanggung ibu bapanya yang kencing manis dan darah tinggi," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi kes.

Disiarkan pada: May 21, 2023 @ 12:02pm
d