mutakhir

Bertarung nyawa melintas jalan raya

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Walaupun Jalan Teluk Air Tawar di sini mempunyai lampu isyarat pejalan kaki dan lintasan belang (zebra crossing), penduduk masih merasakan keselamatan mereka terancam apabila menyeberangi laluan sesak itu terutama pelajar dan warga emas.

Kepadatan perumahan, premis perniagaan, bangunan sekolah dan rumah ibadat di kawasan sekitarnya membuatkan kemudahan lampu isyarat dan lintasan belang yang disediakan tidak mencukupi bagi penduduk setempat.

Apatah lagi, sikap segelintir pengguna jalan raya tidak bertanggungjawab enggan memberhentikan kenderaan ketika lampu isyarat merah, berisiko mengundang kecelakaan kepada mereka yang tidak berdosa.

Peniaga makanan, Nor Hasni Saad, 57, berkata, dia yang berniaga berhampiran jalan berkenaan kerap menyaksikan kemalangan akibat sikap individu yang mementingkan diri kerana tidak mematuhi undang-undang ditetapkan.

"Saya tak tahu kenapa dengan jalan ini. Ada lampu isyarat dan lintasan belang pejalan kaki, tetapi susah sangat pengguna jalan raya lain nak ikut peraturan hingga 'belah' (langgar) orang.

"Jalan ini memang padat (sesak) terutama ketika waktu puncak, orang nak ke tempat kerja dan sekolah, termasuk ketika pulang dari tempat kerja sentiasa sesak.

"Ditambah pula dengan adanya masjid dan lambakan pusat perniagaan, menjadikan jalan ini berpusu-pusu dengan kenderaan hingga mengancam nyawa pejalan kaki khususnya pelajar sekolah dan warga emas," katanya.

Sebelum ini, Nor Hasni pernah memohon supaya jejantas dibina pada 2017 selain memasang kamera litar tertutup (CCTV) dekat lampu isyarat.

"Bagi saya jejantas memang perlu ada kerana sudah banyak kemalangan berlaku depan mata dan ia membabitkan keselamatan pelajar serta warga emas yang pergi dan pulang dari masjid.

"Biarpun ada lampu isyarat dan lintasan belang, kemudahan itu dianggap masih tidak selamat. Ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah pun bimbang.. jika ada jejantas, mungkin kurang sikit (bimbang), termasuk pasang CCTV," katanya.

Sementara itu, penduduk Norul Akma Mohd Zain, 36, berkata, setiap pagi dia menghantar anaknya ke sekolah dan sentiasa perlu peka dengan keadaan jalan yang sesak di kawasan itu.

"Di kawasan ini banyak sekolah, kedai, taman perumahan dan masjid, jadi sepanjang jalan ini ramai yang akan melintas serta menyeberang jalan.

"Jadi, saya risau kalau tidak berhati-hati, akan mengancam keselamatan orang lain kerana walaupun ada lampu isyarat, masih ada segelintir yang tidak peka, maka selalu sangat dengar ada kes kemalangan.

"Pihak berkuasa mungkin perlu buat sesuatu...perbanyakkan jejantas dekat kawasan berisiko atau memasang CCTV, memandangkan setiap kali berlaku kemalangan sukar mendapatkan bukti kukuh," katanya.

Tinjauan di laluan itu mendapati ada sebuah jejantas yang dibina pada jarak kira-kira 500 meter (m) dari lampu isyarat di persimpangan Jalan Teluk Air Tawar.

Bagaimanapun, dengan pertambahan penduduk selain premis perniagaan dan lain-lain kemudahan, adalah wajar untuk kerajaan mempertimbangkan pembinaan jejantas yang membantu penduduk menyeberangi jalan dengan selamat.

Difahamkan laluan itu sesak kerana ia jalan lama untuk penduduk ke Sungai Petani.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Disiarkan pada: May 22, 2023 @ 7:01am
d