mutakhir

Punca kebakaran bangunan KWSP sedang dikenal pasti

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersama Pacific Senior Living (Pacific) sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mengenal pasti punca kebakaran dan menilai kerosakan bangunan lama KWSP di Petaling Jaya yang terbakar pagi hari ini.

Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP dalam satu kenyataan berkata, Pacific adalah pihak pemaju yang sedang melaksanakan kerja pengubahsuaian semula bangunan tidak berpenghuni yang terletak di Jalan Gasing itu sebagai kemudahan kediaman warga emas selepas memeterai perjanjian pajakan selama 30 tahun dengan KWSP pada 6 April 2022.

Katanya, Pasific sudah memulakan kerja-kerja perobohan di bahagian dalam bangunan mengikut rancangan pengubahsuaiannya.

Dalam kejadian kebakaran pagi tadi, dilaporkan bangunan terbakar hanya membabitkan tingkat empat dan lima dengan insiden tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Ini adalah kebakaran kali kedua bangunan itu selepas insiden sama pada 2018.

Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP turut merakamkan penghargaan kepada pihak bomba atas tindakan pantas dalam mengawal kebakaran itu.

Disiarkan pada: May 22, 2023 @ 10:01pm
d