mutakhir

Menyamar doktor gigi, wanita didenda RM50,000

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Johor Bahru: Seorang wanita warga asing dijatuhi hukuman denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas didapati bersalah menawarkan khidmat pergigian secara haram.

Tertuduh, Norsyakilla Abdullah, 29, dijatuhi hukuman berkenaan oleh hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim selepas dia didapati bersalah menjalankan amalan pergigian tanpa berdaftar.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25, Akta 804 atas kesalahan di bawah seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 dan boleh dihukum di bawah seksyen 62(3) Akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr. Musfirah Musa dan dibantu Dr Khadijah Wahab.

Mengikut fakta kes, wanita terbabit sebelum ini ditahan hasil operasi oleh sepasukan pegawai Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, KKM di sebuah premis di Jalan Kecapi, Taman Perbadanan Islam, Johor Bahru pada 5 Julai tahun lalu.

Semasa serbuan dilakukan, tertuduh didapati sedang menjalankan rawatan penskeleran gigi keatas seorang lelaki.

Tertuduh bagaimanapun gagal mengemukakan Perakuan Pendaftaran sebagai Pengamal Pergigian dengan Majlis Pergigian Malaysia serta Perakuan Pengamalan Tahunan Semasa.

Susulan itu pegawai KKM merampas beberapa dokumen dan peralatan pergigian yang digunakan untuk menjalankan amalan pergigian.

Semakan dijalankan dengan Ibu Pejabat Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS HQ) mendapati premis milik tertuduh turut beroperasi tanpa didaftarkan mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].

Disiarkan pada: May 23, 2023 @ 8:57am
d