mutakhir

Waktu operasi Pusat Respons Scam Kebangsaan ditambah

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bersetuju untuk menambah waktu operasi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bagi membantu mangsa penipuan mendapat bantuan yang tepat dan segera dalam masa yang kritikal.

Perdana Menteri berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) juga memberikan maklum kepada semua bank supaya operasi pemantauan dibuat 24 jam.

"Cadangan untuk menambah waktu operasi dipersetujui. Tetapi saya ingin maklum bahawa Bank Negara telah memberikan maklum kepada semua bank supaya operasi pemantauan ini 24 jam dan ke arah automasi.

"Ia supaya pengadu boleh mengambil tindakan menghentikan pengeluaran dana daripada bank serta-merta. Ini perkembangan baru yang dilakukan oleh Bank Negara," katanya dalam Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan Tan Hong Pin (PH-Bakri) yang bertanyakan adakah kerajaan mempunyai rancangan memanjangkan masa operasi NSRC ke 24 jam bagi membantu dengan segera mereka yang menjadi mangsa penipuan mendapat bantuan tepat dan segera dalam masa kritikal.

Anwar berkata, sebanyak 3,595 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kerajaan telah mendapat pulangan daripada rampasan sebanyak RM34.8 juta.

"Isunya sekarang ialah bagaimana kita nak pulangkan. Jadi arahan sekarangnya ialah beberapa pindaan termasuk Kanun Tatacara Jenayah supaya dapat dipulangkan lebih awal kepada pengadu atau mangsa dan dikekalkan bon sebagai ganti sementara kes berjalan.

"Kalau tidak, dia (mangsa) terpaksa tunggu dua tahun supaya dapat balik wang yang telah ditipu," katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2023 @ 2:00pm
d