mutakhir

Emraz komited memulangkan wang bakal jemaah umrah yang terjejas

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Emraz Travel & Tours Sdn Bhd (Emraz) sedang mengemas kini jadual umrah dan membuat pembayaran balik kepada bakal jemaah yang terjejas penerbangan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Emraz, Datuk Dr Zulkarnain Endut berkata, proses itu akan dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat sekiranya pihak jemaah yang terbabit turut bekerjasama dengan pengurusan syarikat.

"Emraz komited memastikan mereka yang terbabit akan mendapat semula wang mereka. Kita menafikan dakwaan kononnya Emraz akan menutup operasinya seperti dakwaan yang tular di media sosial.

"Baru-baru ini, pihak syarikat bertindak menghantar semula jemaah ke Tanah Suci sebagai langkah memulihkan semula perkhidmatan dan mengembalikan kepercayaan pelanggan selepas berdepan isu beberapa bulan lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, Emraz sudah membuat dua penerbangan sebelum ini iaitu pada 17 dan 19 Mei lalu bagi melihat sendiri kos pengurusan jemaah dapat dilakukan dengan jumlah operasi yang lebih kecil berbanding sebelum ini.

"Seramai 91 jemaah sudah diterbangkan dalam dua trip pemulihan yang dilaksanakan itu.

"Pemulihan operasi diharap dapat dilaksanakan selepas musim umrah yang akan dibuka selepas musim haji," katanya.

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Bertindak Mangsa Umrah Emraz, Rusman Abu Samah mendakwa, pihaknya mengumpul invois, resit serta bukti pembayaran bank oleh jemaah yang terkesan.

"Berdasarkan data diperolehi daripada beberapa ahli jemaah sehingga hari ini, terdapat sekurang-kurangnya 157 ketua keluarga (invois) dengan jumlah jemaah terkesan kira-kira 602 orang membabitkan tuntutan melebihi RM6.2 juta.

"Ia merangkumi tarikh perjalanan umrah pada Disember 2020 sehingga 19 Mei lalu. Kami tidak menolak kemungkinan jumlah sebenar mangsa serta kerugian mungkin lebih daripada itu," katanya ketika ditemui di pejabat syarikat agensi pelancongan itu, di sini, hari ini.

Rusman berkata, berdasarkan rekod, ada dalam kalangan jemaah yang sudah menghantar notis pembatalan umrah dijadualkan pada Ogos ini hingga Januari 2024 serta menuntut segala pembayaran sudah dibuat dengan jumlah tuntutan melebihi RM331,000.

"Mengikut rekod kami, bagi tuntutan bermula Februari 2020 (tertunda kerana Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga Disember 2022 adalah kira-kira RM280,000 membabitkan 40 jemaah.

"Bagi tuntutan bermula 21 Februari 2023 hingga 15 Mac lalu (sebelum Ramadan) ialah melebihi RM1.6 juta membabitkan kira-kira 198 jemaah," katanya.

Rusman berkata, jumlah tuntutan tinggi direkodkan adalah perjalanan umrah ketika Ramadan tahun ini apabila syarikat itu membatalkan atau penjadualan semula bagi Pakej Umrah Ramadan.

"Ia dibuat melalui memo bertarikh 29 Mac dan 4 April lalu dengan tuntutan hampir RM3.5 juta membabitkan 264 jemaah.

"Berdasarkan rekod kami juga, terdapat kira-kira 12 individu sudah mendapat cek bertarikh hadapan tetapi ia dipulangkan semula oleh pihak bank kerana syarikat itu mengarahkan untuk memberhentikan cek berkenaan," katanya.

Menurutnya, tidak dinafikan ada beberapa individu ditawarkan untuk diterbangkan dan sudah berangkat menunaikan umrah, namun jumlah itu jauh lebih kecil daripada jumlah yang terkesan.

"Meskipun ada beberapa individu yang sudah mendapat pulangan semula wang, namun jumlah itu jauh amat kecil dibandingkan dengan tuntutan keseluruhan iaitu dianggarkan hanya sekitar RM100,000.

"Justeru, kami mendesak syarikat itu membayar keseluruhan jumlah bayaran kami dalam tempoh 14 hari sejajar dengan Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992.

"Untuk makluman, semua jemaah sudah membayar penuh bayaran dikemukakan dalam tempoh dua bulan sebelum tarikh penerbangan seperti dikehendaki syarikat itu," katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2023 @ 3:38pm
d