mutakhir

Ahli Lembaga Pengarah AKSB terima sagu hati RM10,000, wartawan diminta padam dokumen tular

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim dan Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan Exco kerajaan negeri masing-masing enggan mengulas berhubung dakwaan sagu hati Aidilfitri sebanyak RM10,000 seorang yang diterima Ahli Lembaga Pengarah AKSB.

Penerimaan sagu hati itu dipercayai membabitkan sembilan Ahli Lembaga Pengarah, selain setiausaha syarikat menerima RM2,000 serta kakitangan RM200.

Pengurus Besar AKSB, Dr Nazmi Ghazali Azmi sebaliknya memaklumkan menyebarkan dokumen sulit adalah menjadi kesalahan.

"Menyebarkan dokumen sulit adalah suatu kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi, wartawan jangan terbabit dengan kesalahan itu.

"Minta padam (dokumen yang tular)," katanya menerusi WhatsApp.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

"Saya tidak mahu komen perkara ini kerana tidak mahu memperbesarkan isu ini," katanya.

Terdahulu, tular satu notis mengenai pemberian sagu hati Aidilfitri kepada sembilan Ahli Lembaga Pengarah AKSB masing-masing sebanyak RM10,000 seorang.

Selain itu turut dinyatakan dalam notis itu mengenai pemberian sagu hati kepada semua kakitangan sebanyak RM200 dan kepada setiausaha syarikat sebanyak RM2,000.

Perkara itu didedahkan oleh individu di Facebook sehingga menimbulkan kemarahan rakyat berikutan Kelantan berdepan masalah air yang berpanjangan.

Disiarkan pada: May 23, 2023 @ 4:21pm
d