mutakhir

Kekangan kewangan memaksa Ainun tinggalkan pengajian [METROTV]

Oleh Baharom Bakar

Kuala Berang: Kekangan kewangan dan kemiskinan keluarga menyebabkan seorang penuntut dalam bidang diploma pendidikan kanak-kanak terpaksa meninggalkan pengajian.

Remaja, Ainun Mardiah Mat Lazim, 19, menetap di Kampung Bukit Ara, Ajil, di sini, meninggalkan asrama tanpa pengetahuan pengurusan Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), pada 29 Mac lalu.

Ainun Mardiah yang juga anak tunggal kepada pasangan Mat Lazim Jusoh, 50, dan Roslindawati Abd Rahman, 45, terpaksa keluar daripada asrama berikutan ketiadaan wang belanja harian untuk makan dan minum.

Walaupun Ainun Mardiah masih berminat untuk meneruskan pengajian, terutama menduduki peperiksaan yang bermula pada 6 hingga 15 Jun depan.

Mat Lazim hanya bekerja sendiri manakala Roslindawati hanya suri rumah sepenuh masa dan menghidap penyakit angin ahmar sejak tiga tahun lalu.

Mereka kini menetap di rumah sewa dengan kadar sewa RM50 sebulan.

Ainun Mardiah mengakui masih berminat meneruskan pengajian namun disebabkan keluarga menghadapi kekangan kewangan terutama untuk perbelanjaan harian, dia terpaksa keluar daripada asrama tanpa disedari pengurusan kolej dan pulang ke rumah.

"Ketika berada di asrama, saya hanya makan sekali sehari dan hanya minum air kosong.

"Ada ketikanya saya hanya mengalas perut dengan makan mi segera disebabkan ayah dan ibu tidak mampu membekalkan wang belanja harian," katanya ketika ditemui di kediamannya tadi.

Ainun Mardiah mengakui meminta bapanya mengambil di asrama seminggu selepas umat Islam menunaikan ibadah puasa Mac lalu.

"Ketika itu, saya hanya mempunyai wang belanja dibekalkan ibu dan ayah sebanyak RM20.

"Ayah dan ibu tidak mampu untuk membekalkan wang belanja harian kerana kehabisan wang simpanan," katanya.

Ainun Mardiah yang bercita-cita sejak kecil untuk menjadi guru di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) mengakui mempunyai tunggakan yuran pengajian lebih RM6,000.

"Ibu dan bapa berazam untuk berusaha mencari duit bagi membolehkan saya masuk semula ke asrama sebagai persiapan menduduki peperiksaan pertengahan bulan depan.

"Saya sudah ketinggalan mengikuti pengajian lebih tujuh minggu dan mengharapkan bantuan kawan-kawan untuk membuat ulang kaji," katanya.

Sementara itu, tinjauan ke rumah Ainun Mardiah mendapati kediaman diduduki tidak mempunyai bilik tidur dan khemah kecil dipasang sebagai dinding pemisah.

Ainun Mardiah Mat Lazim yang terpaksa meninggalkan Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) akibat kesempitan hidup keluarga ketika ditemui di rumahnya, Kampung Bukit Ara, Ajil.

Disiarkan pada: May 23, 2023 @ 6:31pm
d