mutakhir

KKD siasat dakwaan filem Anwar: The Untold Story disabotaj

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan menyiasat dakwaan mengenai filem Anwar: The Untold Story yang mula ditayangkan pada Khamis lalu, disabotaj.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching, berkata, semua aspek dakwaan itu akan diteliti sebelum siasatan segera dilakukan.

Katanya, setakat ini pihaknya juga masih belum menerima maklum balas dan laporan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

"KKD akan buat siasatan sama ada tuduhan itu adalah benar atau sebaliknya.

"Namun saya percaya, lagi ramai penonton yang berminat menyaksikan filem ini, sudah tentu lagi banyak slot tayangan dan pawagan akan tayangkan filem ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri tayangan Anwar: The Untold Story di pawagam di sini, malam tadi.

Ahad lalu, produksi filem Anwar: The Untold Story dilaporkan mendakwa sesetengah pawagam di negara ini mensabotaj tayangan naskhah biopik yang memaparkan kisah perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Walaupun menjadi filem biopik pertama mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan, Khamis lalu, namun jumlah kutipan tidak memenuhi sasaran penerbit apabila filem itu didakwa tidak mendapat slot tayangan banyak.

Bagaimanapun Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) semalam dilaporkan menafikan dakwaan pihaknya mensabotaj filem itu.

Disiarkan pada: May 24, 2023 @ 12:06pm
d