mutakhir

Kerajaan hulur bantuan RM1.48 juta untuk SAR Hawari [METROTV]

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM1.48 juta kepada Kelab Eksplorasi Altitud bagi mencari pendaki, Muhammad Hawari Hashim yang dilaporkan hilang selepas berjaya menawan puncak Gunung Everest.

Ketua Setiausaha KBS Dr Nagulendran Kangayatkarasu berkata, usaha mencari Muhammad Hawari sedang giat dijalankan di semua tempat, kem dan setiap khemah selain pencarian melalui darat serta udara.

"Saya dan kementerian mengharapkan agar misi pencarian ini akan berjaya dan Muhammad Hawari dibawa pulang dengan selamat," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, hari ini.

Muhammad Hawari, 33, yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran adalah antara peserta misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023) yang memulakan perjalanan ke Nepal pada 1 April dalam misi menawan puncak Everest.

Dia dipercayai turun dan berehat di kem empat selepas berjaya menawan puncak Everest pada ketinggian 8,848 meter dari paras laut dan berita kehilangannya pada Jumaat lalu dilapor media tempatan Nepal.

Mengulas lanjut, Nagulendran berkata, bantuan kewangan itu diberikan bagi tujuan misi dan menyelamat Muhammad Hawari.

"Kita perlu cepat sebab semua orang perlu turun dari Everest pada 28 Mei kerana pada tarikh 29 Mei selepas itu ia akan ditutup.

"Tempoh masa (misi mencari dan menyelamat) ini sangat kritikal dan kita perlu bekerja keras untuk membantu Muhammad Hawari serta membawa pulangnya," katanya.

Nagulendran berkata, pihaknya optimis dan berharap Muhammad Hawari berada dalam keadaan selamat.

"Kita perlu faham dia merupakan seorang OKU dan mempunyai masalah pendengaran. Kita positif akan jumpanya dalam keadaan selamat," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Konsular Kementerian Luar Negeri Datuk Mohamad Ali Selamat berkata, kawasan pencarian bagi misi mencari dan menyelamat terhadap Muhammad Hawari diperluaskan.

Beliau berkata, ia meliputi kawasan pendakian bermula dari Tibet dan operator yang menjalankan pendakian di kawasan itu telah dimaklumkan bagi membantu mengesan.

"Usaha kerajaan sekarang ini diperluaskan bukan semata-mata di kawasan Nepal tetapi juga di kawasan Tibet," katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2023 @ 4:33pm
d