mutakhir

Wanita muat naik gambar tatu kalimah Allah ditahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seorang wanita tempatan ditahan selepas didapati memuat naik gambar menunjukkan tatu kalimah Allah di badan seorang wanita lain di Facebook, semalam.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, wanita yang juga pengendali serta pemilik akaun Facebook @Bunga Matahari berusia 46 tahun itu ditahan dalam serbuan di Gombak, Selangor.

"Kami turut merampas sebuah telefon bimnit berserta satu kad sim dalam serbuan itu.

"Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 26 Mei nanti untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes itu disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat hantaran atau menularkan perkara yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja di mana-mana platform media sosial sehingga membangkitkan perpecahan keamanan serta menggugat keharmonian kaum.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam," katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2023 @ 4:48pm
d