mutakhir

Remaja maut terputus tangan

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Pemandu lori tunda yang bimbang dipukul orang kampung bertindak melarikan diri dari lokasi kemalangan yang menyebabkan remaja putus tangan kanan dan maut di Kilometer (KM) 95, Jalan Batu Pahat - Mersing, dekat sini, 12.20 tengah malam tadi.

Bagaimanapun, dia kemudian kembali ke situ, selepas merujuk kejadian itu dengan polis.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, lelaki berusia 48 tahun itu bertindak memandu sehingga ke Mersing selepas kenderaannya bergesel dengan Yamaha Y15ZR, dipandu mangsa, Mohammad Haziq Haiqal, 18.

Katanya, akibat kemalangan itu, mangsa yang bekerja sebagai tukang gunting rambut parah di kepala dan sebelah kanan badan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal ditunggang remaja itu dari arah Mersing menghala ke Kluang, manakala lori tunda itu pula dipercayai dari arah bertentangan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kedua-duanya bergesel di kawasan tengah jalan, berdasarkan serpihan yang berada di garisan berkembar tengah jalan.

"Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami apa-apa kecederaan.

"Pemandu lori itu yang takut dipukul oleh orang kampung tidak menunggu di tempat kejadian dan terus memandu ke Mersing," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, bagaimanapun, pemandu lori tunda berkenaan merujuk kejadian itu dengan polis, dan datang semula ke daerah ini untuk membuat laporan kemalangan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2023 @ 9:51am
d