mutakhir

Sagu hati Aidilfitri untuk ringankan beban warga syarikat - AKSB

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menjelaskan pemberian sagu hati Aidilfitri yang diberikan kepada kakitangan termasuk Ahli Lembaga Pengarah bagi membantu meringankan beban warga syarikat menyambut hari raya.

AKSB menerusi kenyataan di Facebook berkata, bayaran itu turut dibuat mengikut prosedur tadbir urus kewangan.

"Malah, ia dilulus oleh Lembaga Pengarah iaitu badan tertinggi sesebuah syarikat. AKSB ialah sebuah syarikat Sdn Bhd.

"Amalan memberi sagu hati Aidilfitri kepada ahli lembaga pengarah syarikat dan kepada kakitangan syarikat adalah amalan biasa sebuah syarikat sebagai keraian kepada ahli-ahli Lembaga Pengarah dan sebagai membantu meringankan beban warga syarikat menyambut Aidilfitri," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, AKSB dan kerajaan negeri diminta memberi penjelasan berhubung dakwaan pemberian sagu hati Aidilfitri sebanyak RM10,000 kepada Ahli Lembaga Pengarah AKSB, baru-baru ini.

Pemberian sagu hati itu dipercayai membabitkan sembilan ahli lembaga pengarah, selain setiausaha syarikat didakwa menerima RM2,000 dan kakitangan sebanyak RM200.

Gesaan itu dibuat selepas tular notis mengenai pemberian sagu hati yang disebarkan di media sosial, sejak kelmarin.

Susulan itu, AKSB membuat laporan polis, petang kelmarin, berhubung kebocoran dokumen sulit mengenai pemberian sagu hati.

Laporan polis itu dibuat oleh pegawai undang-undang AKSB, Muhammad Amin Shamsudin terhadap dua hantaran Facebook yang dimuat naik oleh individu dikenali sebagai Wan Mahussin Wan Zain.

Disiarkan pada: May 25, 2023 @ 10:06am
d