mutakhir

'Terbayang seperti Maysarah ada di belakang'

Oleh Nurul Sabrina Jamali

Shah Alam: Impian mereka berdua adalah untuk sama-sama menggengam ijazah dan mengabadikan kenangan di majlis konvokesyen selepas penat lelah belajar.

Namun hasrat Nurul Shania Jamali, 25, untuk berbuat demikian hanya tinggal kenangan apabila sahabat baiknya itu, Maysarah Hassan, terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi.

Nurul Shania berkongsi kisah duka itu di akaun TikTok miliknya berserta gambar terakhir dia melawat Maysarah ketika menerima rawatan di sebuah hospital.

Menurutnya, pemergian Maysarah pada semester ketiga tahun 2019 disebabkan demam panas sehingga diserang sawan serta jangkitan kuman pada hati.

"Pemergian Maysarah membuatkan saya pernah terfikir hendak menamatkan pelajaran kerana saya seperti hilang tempat bergantung sepanjang belajar kerana hubungan kami rapat seperti adik beradik.

"Saya bernasib baik dan atas dorongan keluarga dan rakan lain, saya berusaha untuk menamatkan pelajaran yang hanya tersisa tiga semester lagi ketika itu. Ia tidak mudah dan sulit untuk saya menghabiskan," katanya.

Dan hari ini katanya, dia menghadiri Majlis Konvokesyen Ijazah Sarjana Muda selepas dua tahun ditunda disebabkan oleh wabak Covid-19 yang melanda negara.

"Ketika saya menggenggam segulung ijazah tadi, saya terbayang seperti Maysarah ada di belakang saya dan berbisik 'Tahniah!'.

"Saya terkilan dan mencari suara itu, tetapi saya terlupa yang dia sudah pergi buat selamanya," katanya hiba ketika dihubungi, hari ini.

Bagi Shania, zaman belajarnya terasa sunyi selepas pemergian arwah walaupun dia mempunyai ramai kawan di universiti, tetapi tiada seorang pun yang boleh menggantikan tempat Maysarah.

"Maysarah pernah berjanji kepada saya untuk menamatkan pelajaran dan menerima segulung ijazah bersama-sama, tetapi Tuhan lebih sayangkan dia, saya redha walaupun pedih," katanya.

Katanya, dia terkenang hari terakhir sebelum Maysarah dijemput Ilahi, arwah memberi pesanan terakhir kepadanya supaya mencari kebahagiaan sendiri di dunia dan di akhirat.

"Kalau Maysarah masih ada, pasti dialah orang yang paling bahagia selepas ibu bapa saya, melihat saya sudah mempunyai pekerjaan yang tetap dan melayari bahtera perkahwinan," ujarnya.

Menurut Shania, Maysarah seorang sahabat yang tidak pernah berkira dari segi wang, ilmu dan sentiasa membantunya walau apa jua keadaan.

"Saya tidak pernah berjumpa dengan insan baik seperti Maysarah sama ada di masa lalu, kini serta sekarang kerana dia sahaja selalu ada di waktu saya senang dan susah," katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2023 @ 9:08pm
d