mutakhir

Mayat terapung mungkin lelaki larikan diri daripada pihak berkuasa

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Mayat lelaki ditemukan di tebing Sungai Kelantan dekat Pasir Pekan di sini, dipercayai individu yang melarikan diri ketika serbuan pihak berkuasa, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat terapung dan sudah membengkak itu pada 3.30 petang semalam.

"Tiada sebarang luka yang jelas pada badan namun keadaannya sudah membengkak serta berbau. Mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk dibedah siasat dan disahkan mati akibat lemas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Amran berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 28 tahun, yang berkemungkinan individu yang melarikan diri semasa serbuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di tebing sungai dekat Kampung Pasir Pekan Tengah, di sini.

Katanya, kematiannya diklasifikasikan mati mengejut dan mayat sudah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Disiarkan pada: May 26, 2023 @ 6:43pm
d