mutakhir

Anggota TLDM hilang ditemui meninggal dunia

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sabak Bernam: Misteri kehilangan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sejak 21 Mei lalu terungkai apabila mayatnya ditemui dalam kereta dipercayai terbabas dalam parit berhadapan sebuah hotel di sini, hari ini.

Mayat Mohamad Khair Mahat, 28, ditemui orang awam yang memotong rumput berhampiran lokasi kejadian.

Difahamkan, pada 21 Mei lalu isteri mangsa menerima laporan suaminya tidak hadir bertugas dan keluarga membuat laporan polis berhubung kehilangan pada keesokan harinya.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan itu pada 4.23 petang.

Katanya, sepasukan sembilan anggota bersama jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Berdasarkan laporan awal, kejadian membabitkan Perodua Kelisa ditemui orang awam dalam parit dengan anggaran kedalaman dua meter. Kereta itu dalam keadaan terbalik dipercayai terbabas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Md Razali berkata, anggota bertugas kemudian mengeluarkan mangsa selepas kereta itu dibawa naik menggunakan jentera 'backhoe'.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: May 26, 2023 @ 6:59pm
d