mutakhir

162 pekerja pembinaan warga asing ditahan

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Seramai 162 pekerja pembinaan warga asing ditahan bagi pemeriksaan berkaitan dokumentasi perjalanan dan permit kerja dalam Operasi Bersepadu Tapak Pembinaan di Jalan Kiara pada Khamis.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Facebook berkata, pemeriksaan dan penahanan itu membabitkan 118 warga Bangladesh, 23 warga Myanmar, 11 warga Indonesia dan 10 warga Pakistan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Pemeriksaan di kawasan tapak pembinaan ini dibuat secara menyeluruh di bahagian dalam dan luar pembinaan.

"Ia bagi menentukan tahap kebersihan, keselamatan dan permit kebenaran serta memastikan segala peraturan di tempat pembinaan sentiasa dipatuhi oleh kontraktor dan pemilik syarikat," katanya, hari ini.

Operasi Siri 6/2023 itu dilaksanakan DBKL dengan kerjasama PDRM, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Turut terlibat, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH) dan JIM.

Dalam operasi itu, DBKL mengeluarkan satu notis kompaun dalam kawasan pembinaan itu disebabkan terdapatnya tempat pembiakan nyamuk.

Katanya, satu notis berkaitan industri pembinaan turut dikeluarkan CIDB manakala dua notis kompaun oleh SWCorp membabitkan bahan atau sisa binaan.

Selain itu katanya, lima surat arahan DOSH melalui Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 melibatkan pelbagai kesalahan-kesalahan am yang dikuatkuasakan agensi berkenaan turut dikeluarkan.

"Operasi bersepadu ini akan diteruskan mengikut kawasan parlimen di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya.

Disiarkan pada: May 26, 2023 @ 9:23pm
d