mutakhir

HAWANA: Kebajikan wartawan sambilan, hak cipta fokus Media Perak

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Kebajikan wartawan sambilan atau 'stringer' selain hak cipta karya terbitan media merupakan dua isu yang ingin diutarakan oleh Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di sini yang bermula esok hingga Isnin ini.

Pengerusi PPMP, Sayed Mohd Hesham Syed Idris berkata, kebajikan stringer khususnya dalam segi mendapatkan pembiaan dari institusi kewangan perlu diberi perhatian berikutan rata-rata stringer yang kebiasaannya memperoleh pendapatan berasaskan kepada sesuatu kerja tidak disertai bersama penyata atau 'slip' bayaran gaji.

Katanya, keadaan itu menghalang seseorang stringer bagi memperoleh pembiyaan perbankan umpamanya untuk membeli kediaman, kenderaan, dan sebagainya biarpun skop tugas stringer atau wartawan sambilan umumnya sangat hampir menyamai dengan wartawan tetap.

"Berbanding sebelum ini, rata-rata syarikat media pada masa ini lebih banyak menggajikan wartawan sambilan berbanding wartawan bertaraf tetap. Memang perkara ini sebenarnya banyak bergantung kepada sesebuah syarikat media yang berkenaan tetapi mungkin kerajaan juga boleh melihat perkara ini.

"Paling kurang pun, permudahkan stringer membuat 'loan' (pinjaman), sebab dari segi pendapatan memang macam wartawan tetap juga. Walaupun stringer tiada gaji tetap tetapi kadangkala jumlah yang mereka perolehi itu 'boleh tahan' malah kadangkala lebih dari wartawan tetap, selain konsisten setiap bulan," katanya ketika ditemui.

Mengenai fokus kedua iaitu hak cipta karya pula, Sayed Mohd Hesham berkata, kerajaan diminta meneliti aspek bagaimana untuk menguatkuasakan undang-undang berkatan pemeliharaan hak cipta oleh sesebuah rumah media yang dilihat kerap menjadi 'mangsa' pelanggaran hak itu.

Katanya, perkembangan penggunaan media baharu khususnya media sosial masa kini menampakkan banyak kandungan berita termasuk yang bersifat eksklusif diciplak sewenangnya oleh badan tertentu yang kemudiannya mengguna pakai kandungan itu bagi memperoleh keuntungan secara mudah.

"Kita agak terkilan sebab kebiasannya bahan-bahan terbitan media konvensional diambil atau bahasa kasarnya 'dicetak rompak' bulat-bulat. Jadi kita harap ada cara untuk mencegah perkara itu memandangkan perkara ini nampaknya makin berleluasa.

"Sebagai wartawan kita bertungkus-lumus memperoleh berita di lokasi kejadian. Tiba-tiba ada pihak 'kaki viral' senang-senang sahaja ambil karya media kita termasuk karya berbentuk gambar yang sekali gus menampakkan sudah tiada elemen 'eksklusif' dalam karya pemberitaan masa kini.

"Mereka ambil karya kita tanpa kita dapat apa-apa pun. Jadi, media sudah tidak dapat apa-apa di situ terutama dari sudut janaan pendapatan melalui pengiklanan," katanya.

Sambutan HAWANA 2023 selama tiga hari di Ipoh yang akan bermula esok akan menghimpunkan penggiat dan pakar industri untuk membincangkan topik mengenai kelangsungan media tradisional dalam era digital, selain usaha menarik hasil pengiklanan pada sesi Forum HAWANA bertajuk 'Masa Depan Media' yang dijangka berlangsung, Ahad ini.

Disiarkan pada: May 26, 2023 @ 9:44pm
d