mutakhir

Polis gempur rumah proses heroin

Oleh Muhamad Lokman Khairi

Lumut: Polis menggempur rumah dipercayai tempat pemprosesan dan pembungkusan heroin di Kampung Bharu, dekat sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam operasi 1.30 tengah hari itu, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menahan empat lelaki berumur 23 hingga 52 tahun di rumah berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam rumah itu, pihak polis menjumpai dan merampas dadah dipercayai heroin dengan anggaran berat 14.905 kilogram (kg) dan nilai RM199,727.

"Polis turut merampas sejumlah peralatan dan bahan-bahan kimia yang digunakan untuk memproses serta membungkus dadah serta menyita sebuah kenderaan. Anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah bersama harta yang disita adalah RM239,727.

"Susulan dari serbuan itu, pihak polis menahan seorang lagi lelaki berumur 25 tahun di Pokok Assam, Taiping dipercayai turut terlibat dalam kes ini.

"Ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif daripada sebarang jenis dadah. Empat daripada lima suspek yang ditahan didapati mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Yusri berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan, kesemua suspek dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini dan terlibat dalam aktiviti pemprosesan dadah sejak awal Mac lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 30 Mei depan bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: May 26, 2023 @ 9:45pm
d