mutakhir

IWK Eco Park tawar pelbagai kemudahan untuk komuniti

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Taman sukan dan rekreasi IWK Eco Park di Pantai Dalam yang menyediakan pelbagai kemudahan dengan seni landskap yang menghijau akan memberi manfaat kepada penduduk sekitar.

Taman seluas 12 hektar yang diuruskan syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd menawarkan pelbagai kemudahan antaranya dewan komuniti, bilik mesyuarat, tempat berkelah, trek joging dan berbasikal, serta pelbagai kemudahan sukan.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, kemudahan awam ini dibina di atas loji rawatan air kumbahan berpusat yang dikenali sebagai Loji Rawatan Kumbahan Serantau, Pantai 2.

"Loji serantau ini adalah loji rawatan kumbahan bawah tanah dan yang terbesar di rantau Asia Pasifik. Loji ini berupaya memproses air kumbahan daripada kira-kira 1.43 juta penduduk setara atau lebih tepat hampir sebahagian besar penduduk di kawasan Kuala lumpur dan sebahagian daripada Petaling Jaya.

"Tanah keseluruhan untuk kompleks loji serantau Pantau 2 adalah seluas 17 hektar, iaitu merangkumi keluasan Eco Park yang seluas 12 hektar. Apa yang menarik di taman ini adalah ianya disediakan sebagai satu pusat sukan dan rekreasi setempat di mana terdapat pelbagai kemudahan.

"Pastinya, tiada lagi perasaan tidak senang bila orang ramai mendekati loji rawatan kumbahan kerana, bila anda di sini, mungkin anda tidak terfikir pun yang anda sedang berada di atas atau berdekatan loji kumbahan,"katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian IWK Eco Park @ Pantai Dalam yang di rasmikan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, taman sukan dan rekreasi itu akan memberi manfaat kepada pelbagai golongan termasuk komuniti setempat.

"IWK Eco Park sering menjadi pilihan bagi saya menjalankan apa juga aktiviti kemasyarakatan bersama rakyat di sini sejak saya memegang amanah sebagai Ahli Parlimen pada tahun 2018.

"Ruang ini sesuai untuk semua jenis aktiviti dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada IWK atas segala inisiatif yang telah dan akan dijalankan di IWK Eco Park @ Pantai Dalam," katanya.

Disiarkan pada: May 26, 2023 @ 10:18pm
d