mutakhir

Mesyuarat MKT dengar penjelasan Ahmad isu sokong DAP

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menerima penjelasan Ahli MKT, Datuk Seri Ahmad Maslan mengenai syornya yang meminta supaya ahli parti itu menyokong DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Menurut ahli MKT, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, penjelasan diberikan itu antara lain bermaksud supaya ahli parti menyokong siapa saja calon ditampilkan Kerajaan Perpaduan.

"Ahmad Maslan beri penjelasan bahawa yang dia kata sebenarnya ialah supaya menyokong calon kerajaan perpaduan. Itu sahaja.

"Dia tiada sebut pasal DAP pun. Jadi kita terimalah penjelasan itu. Kita nak Kerajaan Perpaduan kekal hingga cukup penggal," katanya ditemui media selepas mesyuarat MKT di Menara Dato' Onn di sini.

Ahmad sebelum ini menyebut pengundi Umno boleh memilih calon DAP khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) enam negeri yang tidak ditandingi calon Umno atau Barisan Nasional (BN).

Undi itu diberi bagi memboleh penyokong BN memberi sokongan kepada siapa saja calon Kerajaan Perpaduan termasuk DAP.

Malah Ahmad berkata tindakan itu wajar mengikut disiplin parti apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Kenyataan Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian itu sedikit sebanyak mencetuskan rasa kurang setuju dalam kalangan ahli dan penyokong Umno serta MCA.

Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah bersetuju menyertai PRN di enam negeri secara bersama, tanpa berlaku pertembungan kerusi antara mereka.

Disiarkan pada: May 27, 2023 @ 12:15am
d