mutakhir

Pesakit mental ditemukan rentung

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Lelaki dipercayai pesakit mental maut dalam kebakaran di dalam bilik di sebuah rumah di Desa Country Homes dekat Rawang, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 6.28 pagi dan dua jentera tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian.

Katanya, kebakaran membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat.

"Semasa kejadian, mangsa lelaki tempatan berusia 56 tahun yang tinggal bersama abangnya, rentung.

"Kebakaran sudah dipadamkan orang awam sebelum pihak bomba sampai ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, abang mangsa berusia 65 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Anggaran kemusnahan 10 peratus dan pihak bomba sedang menjalankan overhaul bagi memastikan kebakaran padam sepenuhnya," katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2023 @ 8:13am
d