mutakhir

Dana syarikat judi: Pasal apa (saman) saya? - Ahmad Zahid [METROTV]

Oleh Ahmad Suhael Adnan

Putrajaya: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hairan dengan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu mempertimbang tindakan undang-undang terhadapnya.

Ia susulan kenyataan Muhyiddin yang sedang mempertimbang tindakan undang-undang terhadap 'kenyataan dibuat Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri' ketika mengulas dakwaan PN menerima dana syarikat judi untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri tertanya-tanya mengapa beliau antara individu yang dipertimbang untuk dikenakan tindakan undang-undang.

"Dengan saya? Saya? Pasal apa (saman) saya?" katanya pada sidang media selepas melancarkan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai dakwaan PN menerima dana daripada syarikat judi untuk melaksanakan kempen PRU-15 yang lalu.

"Semalam, (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman keluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara itu, dan (Ketua Pesuruhjaya SPRM) Tan Sri Azam Baki juga telah perjelaskan.

"Oleh kerana perkara ini masih lagi di dalam siasatan terperinci, kita serahkan kepada SPRM untuk memperincikan siasatan itu," katanya.

Semalam, Muhyiddin ketika ditemui di mahkamah memaklumkan pihaknya sedang berbincang dengan peguam mengenai kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahmad Zahid dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia susulan jawapan bertulis Azalina di Dewan Rakyat, Khamis lalu yang memaklumkan siasatan SPRM tidak dapat membuktikan dakwaan bahawa parti PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU-15.

Bagaimanapun, Azalina semalam tampil memberi penjelasan lanjut mengatakan jawapan bertulis itu tidak menyatakan siasatan SPRM berhubung dakwaan itu sudah dihenti atau digugurkan.

Pada 5 Disember lalu, Anwar dalam satu sidang media memberi bayangan bahawa sebahagian dana pilihan raya PN ketika PRU-15, datang daripada syarikat perjudian yang terbabit dengan cabutan khas judi.

"Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi," katanya.

Sehari selepas itu, Ahmad Zahid dalam ucapan di Program Himpunan Rakyat Bersama Timbalan Perdana Menteri, menyatakan keyakinan bahawa dana PRU-15 'pihak di belah sana' datang dari syarikat perjudian yang terbabit cabutan khas judi.

Disiarkan pada: May 27, 2023 @ 2:04pm
d