mutakhir

Isa Samad kembali semula kepada Umno

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abd Samad sudah disahkan keahlian semula dalam parti itu.

Beliau berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bermesyuarat semalam dipengerusikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluluskan keahlian Mohd Isa dalam parti berkenaan.

"Ya, saya sahkan keahlian Tan Sri Mohd Isa ke dalam Umno diluluskan oleh Majlis Kerja Tertinggi, semalam.

"Tapi, saya belum sempat ke pejabat untuk keluarkan surat (keahlian) kerana mesyuarat habis lewat malam tadi, tapi saya sahkan keahlian itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Umno Negeri Sembilan, di sini, petang ini.

Mohd Isa, 74, mengumumkan keluar Umno pada 27 September 2018 kerana bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson sebagai calon Bebas ketika parti berkenaan tidak meletakkan calon.

Dalam PRK berkenaan, Mohd Isa yang juga Ketua Umno Bahagian Port Dickson tewas dalam pertandingan empat penjuru.

Sementara itu, Mohd Isa ketika ditemui di lokasi yang sama berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada MKT yang meluluskan keahliannya dalam parti itu.

"Ketika orang lain keluar, saya masuk Umno.

"Mereka tak kenang jasa Umno, sebab itu saya ingin terus kekal dalam Umno kerana parti ini meletakkan saya," katanya.

Katanya, Umno adalah parti yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, walaupun selama hampir enam tahun berada di luar Umno tetapi sokongan tetap diberikan kepada gerakan dan aktiviti parti.

"Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Melaka, saya turun memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN).

"Dalam PRN di enam negeri akan datang, sudah tentu saya akan bantu berkempen calon Kerajaan Perpaduan," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Isa berkata, walaupun di Negeri Sembilan ketika ini boleh dikatakan tiada pembangkang, namun perlu bekerja keras untuk menang PRN.

"Saya berkeyakinan Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan mampu mengekalkan pemerintahan berdasarkan kekuatan dan sokongan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyifatkan kemasukan Mohd Isa dapat menguatkan lagi kekuatan parti ini menjelang PRN tidak lama lagi.

"Saya memang mengharapkan bekas pemimpin Umno kekal dalam parti ini untuk menguatkan parti," katanya.

Difahamkan satu majlis penerangan diadakan di Wisma Umno Seremban dipercayai sebagai persiapan menghadapi PRN yang dijangka diadakan sekitar Julai atau Ogos depan.

Disiarkan pada: May 27, 2023 @ 4:11pm
d