mutakhir

Anwar seru pendidik, ibu bapa tekan budaya membaca sejak kecil [METROTV]

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyeru pendidik dan ibu bapa agar menekankan budaya membaca sejak dari kecil.

Anwar berkata, beliau mendapati semangat membaca kini semakin luntur disebabkan arus perubahan media sosial.

"Saya seru kepada pendidik dan ibu bapa mesti tekankan budaya membaca daripada awal. Kelunturan semangat membaca ini sudah berkembang.

"Tertutupnya pemikiran Amerika Syarikat kerana hilangnya semangat dan budaya membaca, merasakan yang luar itu tidak penting, memandang hina dan rendah terhadap fahaman lain serta merasakan tidak perlu untuk menimba ilmu," katanya sewaktu berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, disebabkan 'penyakit' atau pemikiran Amerika Syarikat, ia kadangkala 'sampai' ke negara ini.

"Masalahnya sekarang, 'penyakit' itu kadangkala sampai ke wilayah kita. Sebab itu saya nak gesa secara serius. Negara ini harus diangkat menjadi negara Madani.

"Yang ada ilmu, yang ada nilai, yang ada ihsan, yang ada rahmah... semua itu boleh dipupuk melalui semangat membaca," katanya.

Dalam ucapannya juga, Anwar turut mengaitkan dengan kehadiran mantan Mufti Agung Mesir, Prof Dr Ali Jum'ah dan Pengasas Darul Musthafa Tarim Yaman, Al Habib Umar Hafidz semasa Majlis Ilmu Madani di Putrajaya semalam.

"Dengan ilmu mereka, pendekatannya lebih hikmah dan lebih bijak. Agama itu diterapkan dengan ilmu, kasih sayang, toleransi dan hormat menghormati.

"Tetapi yang ilmunya sejengkal, ilmu itu disebarkan dengan menghukum, menanam kebencian, menghina orang serta mencerca atas nama agama kerana kefahamannya yang cetek dan dangkal," katanya.

Beliau juga menggesa agar golongan muda negara ini untuk bangkit dengan mendapatkan ilmu pengetahuan yang ada.

Disiarkan pada: May 27, 2023 @ 6:34pm
d