mutakhir

Tak tahu arwah isteri mencarum SKSSR [METROTV]

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

Besut: "Faedah caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) arwah isteri ini akan digunakan untuk menampung kos pengajian anak-anak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi," kata Nik Azman Musa, 53.

Nik Azman berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan oleh pegawai Skuad Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Prihatin bahawa arwah isteri beliau, Rahmah Ariffin, 52, mencarum di bawah SKSSR.

"Arwah isteri tidak pernah memberitahu saya yang dia mencarum SKSSR sehingga dia meninggal pada 2 Mac lalu kerana tekanan darah tinggi.

"Arwah mengidap penyakit darah tinggi tetapi sebelum ini tidak serius namun terpaksa dimasukkan ke wad apabila tidak sedarkan diri serta koma sebelum menghembuskan nafas terakhirnya di sisi saya," katanya ketika ditemui di majlis penyerahan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih merangkap Ketua Umno Besut, Datuk Muhammad Pehimi Yusof di Bangunan Umno Bahagian Besut, Jertih, hari ini.

Nik Azman berkata, walaupun arwah isterinya hanya suri rumah namun dia sangat mengambil berat mengenai soal pendidikan anak-anak.

"Arwah menyimpan hasrat mahu melihat anak-anak berjaya dalam pelajaran serta melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi dengan masuk ke universiti.

"Saya pula hanya bekerja sendiri dengan mengambil upah membuat padi atau membuat rumah orang, pendapatan juga kadang kala tidak menentu.

"Apabila dapat faedah daripada caruman ini amat membantu saya serta anak-anak meneruskan kehidupan kami sekeluarga," katanya.

Nik Azman yang menetap di Kampung Gong Bayor berkata, dia menyarankan kepada golongan suri rumah serta suami membantu isteri mencarum melalui skim itu kerana boleh memberi manfaat tambahan kepada keluarga.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perkeso Terengganu, Norihan Ibrahim berkata, hasil semakan Perkeso mendapati arwah dilindungi di bawah SKSSR mulai 1 Disember 2022 melalui geran kerajaan di bawah program e-Kasih.

"Kematian Suri Rumah Berinsurans (SRB) adalah kes kelima bagi Perkeso Terengganu di bawah skim baru ini dan kedua di daerah Besut.

"Arwah meninggalkan suami berusia 53 tahun, serta dua anak berusia bawah 21 tahun iaitu Nik Nur Amisha Akmar Nik Azman, 20, serta Nik Airel Riduan Nik Azman, 14.

"Waris SRB layak menerima Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 dibayar terus ke akaun suami, pada 23 Mei 2023," katanya.

Norihan berkata, Faedah Pencen Penakat berbentuk pencen bulanan berjumlah RM300 akan dibayar secara bulanan sehingga umur 55 tahun atau berkahwin kembali atau mana yang terdahulu kepada suami arwah.

"Manakala bagi anak-anak arwah turut akan menerima pencen bulan sehingga berusia 21 tahun atau berkahwin atau hingga ke peringkat Ijazah pertama," katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2023 @ 7:12pm
d