mutakhir

Tiada sempadan sebab Pulau Pinang milik Kedah, kata Muhammad Sanusi [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan Kedah tidak mempunyai sempadan dengan Pulau Pinang berikutan ia milik Kedah.

Katanya, Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

"Saya tunggu Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), kalau ada asas ditentu sahkan sempadan Kedah dengan negeri jiran lain... yang saya tau Pulau Pinang itu Kedah punya.

"Jadi tak dak (tiada) la sempadan Kedah Pulau Pinang tu, sempadan negeri kita dok (di) sebelah Balik Pulau, dengan Perak mungkin ada.. nak ukur kat mana habaq (beritahu), nak pakai warta nombor berapa?" katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Darat dan Maritim Antara Kedah Perlis di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Muhammad Sanusi dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, disaksikan Ketua Pengarah Jupem, Mohammad Zaki Mohd Ghazali dan Setiausaha Bahagian Tanah, Ukur dan Geospatial, yang mewakili Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Muhammad Yasir Yahya.

Ditanya sama ada kerajaan Kedah mahu mengambil kembali Pulau Pinang, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya tidak perlu mengambil kembali negeri itu kerana Pulau Pinang tidak pernah 'terlepas' dari Kedah.

"Bukan nak ambil balik, bukan terlepas apa pun, memang hak kita," jelasnya.

Terdahulu, perjanjian persempadanan darat dan maritim antara Kedah dan Perlis yang membabitkan 44.3 kilometer (km) bagi darat, manakala 5.6km bagi maritim (laut) yang bersamaan tiga batu nautika.

Muhammad Sanusi berkata, perjanjian yang dimeterai itu melakar sejarah baharu antara kedua-dua negeri yang dapat memuktamadkan garis sempadan darat dan laut secara serentak malah sektor yang pertama di Malaysia.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata, dengan termeterainya perjanjian persempadanan ini beberapa isu yang dihadapi kerajaan terutama berkenaan hak milik tanah dapat diselesaikan.

"Isu di Kobah sebelah Kedah, tanah perkuburan di Perlis, jadi isu yang besar meninggal di Kedah, kebumi jenazah di Perlis.

"Satu lagi di Kuala Sanglang ketika pandemik Covid-19, apabila persempadanan ini tidak dimeterai dengan muktamad menyebabkan rakyat di sempadan mengambil kesempatan... dengan persempadanan ini, ia boleh selesai," katanya.

Disiarkan pada: May 29, 2023 @ 11:58pm
d