mutakhir

'Saya gigit leher dia sekuat hati sampai gigi sendiri pecah'

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Seorang lelaki nyaris dirodok menggunakan parang oleh seorang penyamun yang pada awalnya menawarkan untuk menghantar mangsa pulang ke rumahnya di sekitar Bangsar, di sini semalam.

Mangsa, Sam, 30-an berkata, sebelum kejadian dia cuba menempah perkhidmatan e-hailing untuk pulang ke rumah selepas selesai berhibur di sekitar Jalan Alor, di sini.

"Masa itu lebih kurang 5 pagi, saya cuba dapatkan Grab (e-hailing) tetapi tak dapat dan pilihan lain adalah tunggu tren tetapi kena tunggu sampai jam 6 pagi baru ada .

"ketika berjalan seorang diri di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Alor, suspek yang menaiki kereta mewah Audi menghampiri saya tawar untuk hantar saya pulang ke rumah.

"Saya was-was juga awalnya tetapi memandangkan tiada pilihan lain dan wajah lelaki itu nampak macam baik lalu saya bersetuju untuk menumpang kenderaannya," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurutnya, dia mula berasa resah apabila suspek enggan memberhentikan kenderaan walaupun ketika itu mereka sudah berada di sekitar kediamannya malah terus memandu tanpa tujuan selama lebih sejam.

Sam berkata, suspek bertindak mengeluarkan sebilah parang dan mengacukan ke arahnya berhampiran bangunan Angkasapuri apabila dia mempersoalkan hala tuju mereka.

"Dia keluarkan parang dan acukan pada saya sambil ugut 'kau bising lagi aku kerat kau, jangan main-main dengan aku, aku tengah high (mabuk) ni' dan meminta saya mengeluarkan semua barang berharga.

"Suspek juga meminta nombor pin kad pengeluaran wang automatik (ATM) tetapi saya buat-buat seperti orang bodoh, saya cakap telefon bimbit itu semua barang saya orang bagi dan dia jadi lagi marah," katanya.

Ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat sekitar Segambut, di sini, Sam cuba membuka pintu untuk melarikan apabila melihat suspek leka melihat telefon.

Bagaimanapun, belum sempat keluar dari kereta suspek terlebih dahulu menarik Sam lalu terus memecut laju.

Nekad untuk menyelamatkan diri, Sam cuba merampas parang dari suspek berkenaan lalu berlaku pergelutan menyebabkan kenderaan dinaiki mereka terbabas ke bahu jalan.

Menurut Sam, mereka saling berbalas pukulan dan dia menumbuk suspek berkenaan sekuat hati untuk menyelamatkan diri.

"Saya fikir sama ada lawan atau mati, jadi bila nampak dia cuba capai parang di paha kanan dia itu, saya cepat-cepat cuba halang…saya bangun dan cuba rampas parang itu tetapi dia cuba tikam dada saya…nasib baik berjaya elak.

"Saya gigit leher dia sekuat-kuat hati sampai berdarah sampai gigi saya sendiri pecah. Kemudian saya buka pintu bahagian pemandu dan meminta tolong orang berdekatan tetapi ramai yang tengok sahaja.

"Sampailah ada dua penunggang motosikal yang masuk campur dan cuba meleraikan pergelutan antara kami," katanya.

Katanya, dia berharap suspek berkenaan ditahan segera kerana khuatir perkara sama terjadi pada orang lain lebih-lebih lagi pada wanita atau kanak-kanak.

Tambahnya, dia mengalami kecederaan dan terpaksa menerima lima jahitan akibat kecederaan dialaminya ketika bergelut semasa cuba menyelamatkan diri.

Disiarkan pada: May 30, 2023 @ 12:27pm
d