mutakhir

'Mujur ada bantuan Perkeso, anak saya masih kecil' [METROTV]

Oleh Ruwaida Md Zain

Klang: Seorang bekas jurutera yang baru berhenti kerja selepas disahkan menghidap 'Ischemic Heart Disease' dan 'Heart Failure with reduced ejection fraction' buntu memikirkan masa depan tiga anaknya yang masih kecil.

Dalam keadaan tidak bermaya, K Gunasegaran 42, masih berharap dapat kembali pulih seperti biasa agar dapat kembali bekerja dan menyara keluarga.

"Selepas berhenti kerja saya sudah jadi macam orang bodoh, susah-susah belajar (dahulu) tetapi (sekarang) tidak dapat bekerja.

"Selama ini, saya tanggung keluarga, sumber pendapatan semua dari saya. Sekarang ini agak buntu juga pasal anak masih kecil, dua sekolah rendah dan seorang umur empat tahun.

"Saya kena fikir secara cepat, apa langkah seterusnya (perancangan) hendak dibuat demi masa depan keluarga saya.

"Saya berharap sangat semua rawatan ke atas saya berjaya walaupun bukan 100 peratus. Sekurang-kurangnya boleh pulihkan saya untuk melakukan sesuatu daripada duduk sahaja," katanya ketika ditemui selepas penyerahan pencen ilat dan peralatan pemulihan kepada orang berinsurans Pertubuhan Keselamatan sosial (Perkeso), di kediamannya di sini hari ini.

Bantuan disempurnakan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar, yang turut dihadiri Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Gunasegaran berkata, sejak menghidapi penyakit itu beratnya turun sebanyak kira-kira 40 kilogram (kg) dari 98 kg sebelum ini.

"Penyakit ini membuatkan jantung dan buah pinggang saya lemah selain sesak nafas sehingga tidak mampu melakukan apa-apa. Saya juga mempunyai kesukaran untuk makan juga berjalan," katanya.

Bantuan pencen ilat dan alatan pemulihan daripada Perkeso memberikan sedikit kelegaan kepadanya.

Katanya, bantuan pencen ilat sebanyak RM2,751 sebulan yang diterimanya hari ini cukup bermakna buat dirinya dan keluarga, sekurang-sekurangnya ia dapat menampung perbelanjaan mereka.

Sementara itu, seorang lagi penerima faedah Perkeso P Sokkayee, 54, menerima pencen ilat berjumlah RM550 dan peralatan pemulihan seperti lampin dewasa, 'commode chair' dan kerusi roda.

Menurut Perkeso, Sokkayee adalah bekas pekerja kilang sehingga November 2010 mengalami sakit pinggang dan kebas ketika berjalan atau melakukan aktiviti harian sehingga menyebabkan pergerakannya terbatas.

"Pada 23 Mei lepas, doktor mengesahkan dia menghidap keilatan atas masalah 'degenerative kyphoscolisis' yang membuatkannya tidak sesuai untuk bekerja.

"Sehubungan itu, beliau layak menerima bayaran bulanan pencen untuk sepanjang hayat dan Perkeso juga akan menyediakan kemudahan pemulihan jasmani dan dialisis untuk beliau," menurut kenyataan itu.

Disiarkan pada: May 30, 2023 @ 7:08pm
d