mutakhir

Pemeriksaan kesihatan percuma kepada pencarum Perkeso

Oleh Nurul Sabrina Jamali

Petaling Jaya: Pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kini boleh menikmati pemeriksaan kesihatan percuma dengan skop ujian kesihatan yang lebih komprehensif.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud berkata, Program Saringan Kesihatan 3.0 ini adalah inisiatif perlindungan keselamatan sosial yang diamanahkan Kerajaan kepada KSM menerusi Perkeso di bawah Belanjawan 2023.

Katanya, kerajaan memperuntukkan geran padanan berjumlah sehingga RM70 juta di bawah Belanjawan 2023 untuk pelaksanaan berkenaan.

Menurutnya, parameter saringan kesihatan dalam program ini ditambahkan baik dengan ujian pemeriksaan yang lebih meluas bagi mengesan lebih banyak faktor risiko penyakit tidak berjangkit.

"Analisa HSP bagi tahun 2022 mendapati 42 peratus pekerja mengalami masalah obesiti, 14.1 peratus menghidap kencing manis, 27.9 peratus menghidap darah tinggi dan 61.2 peratus mempunyai masalah kolesterol tinggi.

"Dengan adanya pemeriksaan saringan kesihatan, ia dapat membantu individu mengesan penyakit di peringkat awal serta mengambil langkah mengawal penyakit bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius," katanya melancarkan Program Saringan Kesihatan Perkeso 3.0 (HSP), hari ini.

Hadir sama Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata, 'No Claim Discount' (NCD) perlu diberi perhatian kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada mata pencarian pekerja.

"Hal ini kerana NCD yang serius boleh menjejaskan keupayaan individu menjalankan pekerjaan dan menyebabkan kematian awal," katanya.

Menurutnya, pekerja adalah aset utama bagi sesuatu organisasi dalam memacu operasi dan perniagaan, jadi tahap kesihatan pekerja amat berkait rapat dengan produktiviti dan laba syarikat.

Disiarkan pada: June 1, 2023 @ 2:20pm
d