mutakhir

Pembukaan jambatan dan laluan baru ke Bagan Datuk, tarik tiga syarikat pelaburan

Oleh Muhamad Lokman Khairi

Bagan Datuk: Pembukaan Jambatan Bagan Datuk-Sejagop dan laluan baru bas henti-henti Mara Liner Sdn Bhd (MLSB) hari ini, berjaya menarik sekurang-kurangnya tiga pelabur daripada dalam dan luar negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sudah menerima surat dan bertemu dengan ketiga-tiga pelabur berkenaan bagi melakukan rundingan.

"Satu adalah pembinaan kilang kenderaan oleh sebuah syarikat tempatan yang membuat kenderaan penumpang dan kenderaan dagangan ringan.

"Bagaimanapun, mereka bercadang membina kilang kenderaan berat di Bagan Datuk. Ia adalah syarikat tersenarai," katanya pada sesi sidang media selepas melancarkan laluan baru bas henti-henti MLSB di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sebuah syarikat dari China bakal mendirikan kilang penghasilan bateri dan kereta elektrik (EV).

"Kilang ini akan menggunakan kawasan yang lebih luas dan rundingan untuk pembelian tanah-tanah ladang sudah dimulakan.

"Kedua-dua syarikat ini membuka peluang tidak kurang daripada 7,500 pekerjaan baru," katanya.

Menurutnya, sebuah syarikat limbungan untuk pembaikan serta pembinaan kapal dari Turkiye berminat untuk melabur di Bagan Datuk bagi menampung keperluan pembaikan kira-kira 75,000 kapal perdagangan yang melalui Selat Melaka.

"Kini pembaikan kapal itu dilakukan di Singapura. Oleh kerana bebanan limbungan dan pembaikan kapal di Singapura tidak dapat menampung permintaan, maka saya mengadakan perbincangan dengan syarikat dari Turki itu untuk membina pelabuhan pembaikan di Bagan Datuk.

"Jika siap kelak ianya membuka peluang kerja 2,500 pekerjaan. Ini (tiga pelabur berminat datang) semata-mata kerana jambatan dan jalan baru ke Bagan Datuk," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, pembinaan dan penyiapan Politeknik Bagan Datuk ketika ini bakal mempersiapkan tenaga mahir dengan menumpukan tiga bidang iaitu Kejuruteraan Marin, Seni Bina Perkapalan dan Kimpalan Pembaikan Badan Kapal.

Menurutnya, beliau akan melakukan koordinasi bagi mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Dari segi 'matter of interest', ketiga-tiga pelabur itu sudah menghantar surat tunjuk minat. Kelulusan daripada PBT, kerajaan negeri dan MITI, saya akan lakukan koordinasinya.

"Malah pihak Mara sendiri akan menjadikan Giat Mara Hutan Melintang di Bagan Datuk ini sebagai penyumbang kepada tenaga mahir TVET untuk membantu pembaikan, pembinaan atau pembuatan kapal dan EV.

"Maknanya kita lakukan penyelarasan Politeknik, Giat Mara dan Kolej Komuniti bagi menampung keperluan apabila ketiga-tiga syarikat pelaburan ini siap. InsyaAllah memberikan 10,000 peluang pekerjaan sebelum 2027," katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2023 @ 3:20pm
d