mutakhir

Polis tahan budak 13 tahun pandu kereta bersama ibu dan rakan

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Tindakan remaja lelaki bawah umur memandu kereta tanpa lesen dengan membawa ibu dan rakannya membawa padah apabila ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, polis mengesan video tular berdurasi 32 saat memaparkan kejadian orang awam menahan sebuah kereta dipandu remaja berumur 13 tahun di Jalan Rozhan, Machang Bubuk, kira-kira jam 3 petang semalam.

"Remaja itu memandu kereta sejauh kira-kira empat kilometer dan gelagatnya dilihat orang awam menyebabkan mereka menahannya sebelum tular di media sosial.

"Ekoran video terbabit, polis menjejaki remaja itu dan menahannya di hadapan Flat Taman Machang Bubuk pada hari sama.

"Selain remaja yang memandu kenderaan itu, polis turut menahan ibunya berusia lewat 40-an dan rakan yang juga berusia 13 tahun yang berada dalam kereta ketika kejadian," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Cheng San berkata, polis mengambil tindakan dengan mengeluarkan tiga saman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saman itu dikeluarkan mengikut Seksyen 26(1) kerana tiada lesen memandu, Seksyen 39(1) kerana memandu di bawah umur dan ibu suspek yang juga pemilik kereta disaman di bawah Seksyen 39(5) kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu.

"Polis menasihati ibu bapa dan masyarakat supaya jangan cuai dan lalai dengan membenarkan kanak-kanak memandu kereta atau menunggang motosikal kerana membahayakan kanak-kanak itu serta pengguna jalan raya lain," katanya.

Terdahulu tular video berdurasi 32 saat memaparkan Proton Iswara Aeroback berwarna hitam yang dihentikan di tengah jalan dipercayai oleh orang awam.

Dalam insiden itu didapati seorang remaja lelaki dipercayai pemandu berada di luar kenderaan, manakala seorang lagi dipercayai rakannya berada di tempat duduk penumpang belakang.

Disiarkan pada: June 1, 2023 @ 3:38pm
d