mutakhir

'Allah menguji kami' [METROTV]

Oleh Ali Iqbal

Batu Pahat: "Selepas kemalangan pertama pada 1997, tangan kanan abang 'mati' akibat urat terputus. Kami ingat dugaan berakhir di situ tapi Allah sekali lagi menguji kami," kata Nora Jasman, 40, adik kepada Sapari, 52, yang dua kali terbabit kemalangan.

Nora berkata, tiga hari sebelum Aidilfitri, abangnya sekali lagi ditimpa kemalangan dan kali ini lebih teruk.

"Paru-parunya cedera, kepala berlubang manakala mata kanannya berdarah. Hampir sebulan abang koma selepas kemalangan itu," katanya ketika ditemui di rumah di Parit Bilal Laut, di sini.

Disebabkan itu juga, Nora berkata, saluran pernafasan abangnya terpaksa ditebuk kerana dia tidak boleh lagi bernafas secara normal akibat paru-paru cedera.

"Kami masih ingat pada jam 4.30 petang, abang kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja. Dia dikejarkan ke ICU (Unit Rawatan Rapi) Hospital Sultanah Nora Ismail.

"Ia disebabkan kecederaan teruk pada paru-paru, abang sukar bernafas. Doktor memanggil kami semua dan meminta kebenaran menebuk leher bagi memudahkannya bernafas.

"Kami dapat tahu motosikal ditunggang abang merempuh belakang kereta yang membrek secara mengejut berhampiran jambatan Parit Sulong," katanya.

Ibu kepada enam anak berusia antara setahun hingga 20 tahun kini mengambil alih tanggungjawab menjaga Sapari memandangkan abangnya perlu diberi perhatian sepanjang masa.

Menurutnya, setiap hari makan minum abangnya diuruskan secara teliti memandangkan dia hanya boleh makan makanan lembut seperti bubur.

"Emak kami pun sudah uzur, jadi biarlah saya menjaga abang. Lagipun saya suri rumah jadi bolehlah meluangkan masa menjaganya.

"Saya, anak dan suami bergilir-gilir akan menjaganya. Baru-baru ini Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) ada datang rumah menyampaikan bantuan kerusi roda, tempat duduk membuang air besar dan makanan.

"Akhir bulan ini, abang akan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk rawatan susulan termasuk menemui pakar neurologi dan radiologi," katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2023 @ 2:49pm
d