mutakhir

PM seru konglomerat sumbang kepada masyarakat, contohi Syed Mokhtar [METROTV]

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru lebih banyak syarikat konglomerat di negara ini menyumbang ke arah pembangunan negara dan masyarakat.

Memberi contoh Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, Perdana Menteri berkata, sumbangan diberikan itu bukan hanya ke arah memperkasakan ekonomi rakyat, tetapi juga dalam menyokong pembangunan bidang seni dan sastera.

Beliau menegaskan sumbangan dan dukungan itu seharusnya menyamai usaha mereka dalam menyokong bidang lain seperti pendidikan.

"Sepertimana saya gesa ada usaha dalam pelbagai bidang pendidikan dan seni teater, ada usaha untuk (konglomerat) mendukungnya.

"Kalau kita ada 30 konglomerat (dan mereka) ini boleh beri sokongan dalam pelbagai bidang, itu akan memperkayakan (memanfaatkan) seni, sastera, budaya pendidikan dan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan? di Muzium Kesenian Islam Malaysia , di sini hari ini, yang turut dihadiri Syed Mokhtar.

Pameran itu adalah sebuah kisah hubungan antara Eropah, Amerika dengan dunia Timur yang diterokai Muzium Kesenian Islam Malaysia sejak 15 tahun lalu, dengan koleksi lukisan dari abad ke-19 dan awal abad ke-20 ini belum pernah diperlihatkan di luar Eropah, mahupun Amerika.

Muzium Kesenian Islam Malaysia antara pemilik koleksi lukisan orientalis terbesar di dunia.

Dalam pada itu, Anwar menyifatkan pameran ini wajar menjadi medium untuk mengangkat karya seni dan sastera, di samping memberi kefahaman kepada rakyat secara mendalam mengenai makna seni lukisan itu sendiri.

"Supaya (pameran ini) dapat dihebahkan. Ramai tidak tahu bahawa tentang pameran ini agak unik, sebab belum dapat dihebahkan, dipersembahkan di mana-mana negara dunia melainkan di Muzium London, itu pun skala kecil.

"Skala besarnya, ini terbesar yang pernah diadakan di dunia. Jadi ini wajar kepada masyarakat untuk menggunakan peluang ini. Kalau tempat lain itu kosnya terlalu tinggi," katanya.

Terdahulu, Syed Mokhtar ketika berucap menarik perhatian tetamu dan media yang hadir apabila menggelarkan Anwar dengan panggilan 'abang'.

"Di muzium ini juga, kita semua tidak akan berada di sini tanpa kesungguhan dari seseorang yang saya boleh panggil 'abang'. 'Abang' adalah rahsia dan nanti saya akan bagi tahu siapa 'abang' itu," katanya yang kemudian merujuk Anwar di penghujung ucapannya.

Beliau turut berkongsi kisah lama, di mana Anwar ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, membantu mengatur pertemuannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri pada masa itu,

Katanya, beliau mengenali Anwar pada 1980-an sejak mula menceburi diri dalam bidang keusahawanan kecil, selain menganggap Anwar sebagai pemimpin dan pemikir.

"Hari ini adalah istimewa. Ini kali pertama saya membuat ucapan awam (bersama Anwar). Tentunya rasa sedikit gementar," katanya diikuti tepukan gemuruh hadirin.

Disiarkan pada: June 3, 2023 @ 12:03am
d