mutakhir

Alhamdulillah... RM200,000 dikumpul selepas dua hari tular

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Berkat kemurahan hati orang ramai menyumbang, akhirnya 22 penghuni Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah mempunyai tempat teduhan kekal selepas hampir lima tahun menyewa.

Pengasas pertubuhan itu, Mohammad Azlan Abdul Rahman berkata, kediaman jenis semi D dua tingkat yang menjadi tempat perlindungan golongan itu sejak 2018, bakal menjadi milik mereka selepas berjaya mengumpul baki RM200,000 daripada nilai sebenar, RM600,000 hartanah itu.

"Kami duduk rumah ini sejak 2018 dengan sewa RM1,400 sebulan.

"Tetapi apabila pemilik rumah mahu menjualnya dengan harga RM600,000, kami hanya mampu meraih RM400,000 hasil kutipan dana orang ramai selama setahun sejak April 2022," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, kesuntukan masa menyebabkan dia merancang menjual kereta, tetapi baki RM200,000 bagi pembelian rumah itu berjaya dicapai semalam, selepas ikhtiar terakhirnya tular di media sosial sejak Khamis.

"Alhamdulillah, kuasa tular dalam tempoh dua hari saja sasaran kutipan RM200,000 berjaya dicapai.

"Syukur kepada Allah dan saya amat berterima kepada penyumbang kerana menyelamatkan rumah ini hingga membolehkan mak dan abah (penghuni) dapat terus duduk di sini.

"Kalau tak dapat dana ini, kami buntu tak tahu pergi mana kerana terpaksa keluar (disebabkan kediaman dijual)," katanya.

Mohammad Azlan berkata, dia akan menyerahkan dana itu kepada peguam minggu depan untuk urusan dokumentasi dan pertukaran hak milik hartanah yang dijangka mengambil masa antara tiga minggu hingga sebulan.

"Saya harap dengan adanya rumah sendiri ini, kami terus istiqamah dan dapat menjaga lebih ramai lagi warga emas yang memerlukan kerana ramai di luar sana tiada waris, hidup sebatang kara dan tiada tempat tinggal.

"Kutipan untuk pembelian rumah ini sudah selesai, namun kami tidak menolak jika ada sumbangan untuk membeli keperluan harian seperti makanan, lampin pakai buang dewasa dan susu khas," katanya.

Katanya, dia masih lagi bekerja sebagai pemandu bas persiaran bagi menampung kos operasi pusat itu yang mencapai RM18,000 sebulan.

Untuk rekod, Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah yang beroperasi di Taman Tasik Semenyih, Selangor, menempatkan 22 warga emas berusia antara 50-an hingga 94 tahun yang mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuk terlantar.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan di akaun CIMB (8604079094) atau Bank Islam (12122010038599) atas nama Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah.

Disiarkan pada: June 3, 2023 @ 8:55pm
d