mutakhir

Tiga lelaki pukau suri rumah direman

Oleh Aizat Sharif

Kangar: Tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia yang ditahan semalam kerana disyaki menipu barang kemas bernilai RM19,000 dipercayai dengan memukau seorang suri rumah di Pasar Besar Perlis di Sena, di sini direman sehingga 7 Jun hadapan.

Perintah reman selama empat hari bermula hari ini dikeluarkan oleh Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali selepas ketiga-tiga suspek yang berusia 52 hingga 65 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar hari ini untuk mendapat perintah reman.

Suspek akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop mengesahkan penahanan bagi siasatan terhadap suspek berkenaan.

Semalam, dalam kejadian 10 pagi itu, mangsa berusia 51 tahun itu dipercayai dipukau selepas didatangi oleh dua lelaki yang tidak dikenali menawarkan pemeriksaan perubatan.

Mangsa kerugian RM19,000 selepas menyerahkan dua utas gelang emas dan cincin serta sepasang subang emas kepada suspek dalam insiden itu.

Disiarkan pada: June 4, 2023 @ 12:23pm
d