mutakhir

Sudah tiga tahun Mohd Shahddan hilang

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Machang: "Pernah satu ketika, saya berjalan sekitar Kuala Lumpur hampir setiap hari sambil memegang poster anak dengan harapan ada orang mengenali atau pernah melihatnya.

"Namun, saya pulang dalam keadaan hampa," kata Wan Rahimah Wan Abd Rahman, 56, ibu Mohd Shahddan Shuhaimi yang hilang selepas keluar dari rumah di Rawang, Selangor pada 23 November 2020.

Katanya, sejak Mohd Shahddan hilang, mereka sekeluarga tidak pernah putus harapan malah masih mencarinya sehingga hari ini.

Katanya, firasatnya sebagai ibu kuat menyatakan anaknya masih hidup.

"Jika keluar dan ternampak susuk badan seakan Mohd Shahddan, saya pasti akan menegurnya dan berharap itu adalah anak yang dicari selama ini.

"Selain melaporkan kepada pihak berkuasa, saya juga mencuba pelbagai ikhtiar termasuk mendapatkan khidmat pengamal perubatan bagi mengenal pasti lokasi anak yang hilang ketika berusia 33 tahun.

"Namun, sehingga kini anak belum ditemui. Ketika keluar dia tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri dan telefon bimbit sehingga usaha mengesannya sukar," katanya baru-baru ini.

Wan Rahimah berkata, isteri Mohd Sahahddan, Norasyikin Hassan juga setia menunggu menanti kepulangan suaminya yang hilang selepas dua bulan mendirikan rumah tangga.

"Sukar untuk saya membayangkan keadaan anak ketika ini memandangkan mukanya mungkin tidak sama seperti kali terakhir kami melihatnya.

"Kami tidak pernah berhenti berdoa kepada Allah SWT dan mengharapkan keajaiban Mohd Shahddan pulang ke pangkuan keluarga kerana kami semua amat merinduinya.

"Jika sebaliknya, kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku kerana saya percaya ini adalah ketentuan Ilahi," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau bertemu dengan Mohd Shahddan, boleh menghubung Wan Rahimah di talian 01115465400 atau memaklumkan kepada balai polis yang berdekatan.

Disiarkan pada: June 4, 2023 @ 12:59pm
d