mutakhir

Amaran cuaca panas tahap 1 di 4 kawasan

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu iaitu berjaga-jaga di empat di Semenanjung dan Sabah.

Kawasan terbabit adalah Bentong, Temerloh dan Kuantan, Pahang manakala satu lagi kawasan yang berada pada tahap berjaga-jaga ialah Kinabatangan, Sabah.

"Tahap berjaga-jaga membabitkan suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut," kata jabatan itu.

Sementara itu, infografik dikongsikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi pemantauan kemarau menunjukkan, Empangan Bukit Merah, Perak, berada pada tahap kritikal apabila merekodkan hanya 32 peratus baki storan air mentah.

Selain itu, Empangan Muda, Kedah berada pada tahap amaran dengan paras baki storan 41 peratus saja.

Pada masa sama, Empangan Timah Tasoh di Perlis berada pada paras waspada apabila merekodkan 56 peratus baki storan.

Empangan Pedu yang terletak Sik turut berada pada paras waspada dengan 65 peratus baki storan diikuti Empangan Paya Peda, Terengganu (63 peratus).

Sementara itu, 20 lagi empangan seluruh negara dilaporkan berada pada paras normal dengan baki storan melebihi 71 peratus.

Untuk rekod, baki storan kurang 40 peratus menunjukkan keadaan empangan kritikal, 41 hingga 50 peratus (amaran), 51 hingga 70 peratus (waspada) serta lebih 71 peratus ke atas (normal).

Disiarkan pada: June 4, 2023 @ 2:05pm
d