mutakhir

744 aduan penipuan direkodkan membabitkan Facebook

Oleh Omar Ahmad

Kulai: Aduan penipuan dalam talian paling tinggi diterima Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) membabitkan laman sosial Facebook (FB) iaitu 744 aduan yang bermula awal tahun ini hingga 25 Mei lalu.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, aduan kedua membabitkan penyedia pelayar Telegram dengan 17 aduan, diikuti WhatApps (16 aduan) dan emel dengan satu aduan.

Nie Ching turut kesal dengan tindakan Telegram yang langsung tidak berhasrat mahu mengadakan pertemuan dengan KKD, dengan alasan yang tidak munasabah.

"Saya kesal kerana Telegram langsung tidak berhasrat untuk berjumpa, saya hendak tegaskan bahawa kami faham penyedia platform seperti ini ada garis panduan komuniti masing-masing.

"Kami sudah adakan pertemuan dengan TikTok, Facebook dan Google. Apabila kami adakan perjumpaan, ia adalah untuk pastikan aktiviti yang haram dan melanggar undang-undang boleh diambil tindakan secepat mungkin," katanya ditemui selepas menonton Polis Evo 3 bersama komuniti polis dan warga Kulai di Jusco Kulai di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keengganan Telegram untuk berjumpa KKD berikutan tidak mahu mengambil bahagian dalam sebarang bentuk penapisan berkaitan politik.

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, tujuan perjumpaan itu adalah bagi mewujudkan kerjasama dalam mengekang aktiviti jenayah dan bukan bersifat politik dan mengganggu kebebasan bersuara.

"Sebab itu perjumpaan amat penting. Telegram hanya cakap bahawa mereka tidak mahu ada bentuk penapisan berkaitan politik.

"Adakah jika perjumpaan diadakan dengan kami, ia bermakna mereka (penyedia platfrom) jadi hamba kepada kerajaan? Tidak, kerana mereka ada garis panduan komuniti tetapi untuk aktiviti yang memang salah daripada segi undang-undang seperti penipuan dalam talian, tindakan perlu diambil dan perlu kerjasama semua pihak," katanya.

Pada 26 Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil memaklumkan, Telegram masih gagal untuk bertemu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara walaupun sudah beberapa kali dipanggil oleh pihaknya.

Pada kenyataan kepada The New Straits Times, jurucakap Telegram, Remi Vaughn berkata, aplikasi itu secara aktif mengawal kandungan berbahaya pada platformnya, termasuk penjualan bahan haram dan pornografi, sejak dilancarkan.

Disiarkan pada: June 4, 2023 @ 3:02pm
d